Program taklimat kewarganegaraan: DAP kena beri penjelasan terperinci - Ketua Penerangan PAS

MP Pasir Mas persoal asas perundangan kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mempersoalkan ketepatan rujukan undang-undang yang digunakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain bola sepak naturalisasi negara.

Menurutnya, beliau telah meneliti beberapa penjelasan yang diberikan oleh menteri berkenaan di Dewan Rakyat, yang merujuk kepada Perkara 20(1)(e) sebagai asas pemberian taraf kewarganegaraan tersebut.

“Namun setelah disemak, peruntukan berkenaan sebenarnya telah dimansuhkan. Ini menimbulkan persoalan, siapakah yang telah menyediakan maklumat tersebut kepada YB Menteri?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, sekiranya pemain tersebut memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi, mereka tertakluk kepada syarat mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam Bahasa Melayu.

“Adakah Menteri bersedia untuk menayangkan temu bual ringkas dalam Bahasa Melayu bersama tujuh pemain ini bagi membuktikan mereka benar-benar boleh berbahasa Melayu, sekurang-kurangnya pada tahap asas?” ujarnya.

Ahli Parlimen itu turut menyatakan kebimbangan bahawa penjelasan berterusan mengenai isu berkenaan dilihat semakin mengelirukan rakyat.

“Rakyat sedang mempersoalkan sama ada institusi kewarganegaraan negara kita masih berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Fadhli turut menjelaskan beliau dimaklumkan menteri berkenaan sebenarnya merujuk kepada Seksyen 20(1)(e), Jadual Kedua, Bahagian Ketiga, Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya demikian, sebutan yang tepat ialah ‘Seksyen 20(1)(e) di bawah Perkara 31 Perlembagaan Persekutuan’,” jelasnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *