Jangan cabar kesabaran orang Melayu, Islam – Perkasa

PERKASA Kedah Desak MCA Hormati Sensitiviti Melayu dan Islam

SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kedah mengecam kenyataan Ketua Biro Penerangan MCA Kedah, Loo Sin Tee, yang didakwa bersifat tidak sensitif terhadap umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Menurut Ketua Penerangan PERKASA Kedah, Azrol Mansor, kenyataan Loo mengkritik pendirian CUEPACS berhubung larangan penjawat awam menghadiri majlis kerajaan melibatkan arak sebagai “sempit, ekstrem, jahil dan mundur” dianggap tidak menghormati sensitiviti Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Majoriti penjawat awam di negara ini adalah orang Melayu beragama Islam. Arak adalah haram dalam Islam kerana ia membawa kemudaratan dari pelbagai aspek,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

PERKASA Kedah turut mempersoalkan sama ada kenyataan MCA Kedah itu membawa maksud menghalalkan perkara yang sudah jelas haram di sisi agama Islam, sambil menegaskan isu halal dan haram tidak sepatutnya dijadikan bahan polemik oleh mana-mana pihak.

Beliau turut menyeru MCA Kedah lebih memahami konsep sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia serta menghormati nilai dan kepercayaan kaum majoriti di negara ini.

“MCA Kedah perlu belajar memahami erti sebenar sensitiviti dalam konteks masyarakat pelbagai kaum. Tidak ada agama di dunia ini yang menggalakkan pengambilan minuman beralkohol, apatah lagi dalam majlis rasmi kerajaan,” katanya.

PERKASA Kedah menyatakan sokongan penuh pendirian CUEPACS melarang penjawat awam daripada menyertai majlis rasmi melibatkan arak kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam, malah mencerminkan akhlak dan nilai moral individu berkenaan.

“Pemikiran cetek seperti ditunjukkan Ketua Biro Penerangan MCA Kedah ini hanya memberikan gambaran buruk kepada imej negara di mata dunia,” kata beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *