“Itu Hanya Pandangan Peribadi” – Budaya Menafikan Realiti dan Menutup Ruang Wacana Sihat

Dari Meja Editorial

Manzaidi

SETIAP kali ada pandangan, cadangan atau kenyataan yang sedikit berbeza daripada pendirian rasmi sesebuah kementerian, agensi atau organisasi, pasti akan muncul kenyataan balas yang berbunyi, “itu hanyalah pandangan peribadi, tidak mewakili institusi”.

Ia seolah menjadi satu frasa selamat yang digunakan untuk memisahkan institusi daripada sebarang risiko kritikan atau penolakan awam.

Namun, dalam konteks pentadbiran moden dan komunikasi terbuka, adakah pendekatan ini masih relevan? Apakah kesannya terhadap budaya bersuara, wacana dasar awam, dan keberanian menyuarakan kebenaran dalam kalangan pemimpin pertengahan?

Sebagai contoh, baru-baru ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengeluarkan kenyataan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di negeri itu berlaku secara suka sama suka.

Beliau turut menyentuh isu kelemahan perundangan sedia ada yang hanya membenarkan pendakwaan terhadap lelaki, walaupun dalam kes di mana hubungan tersebut berlaku secara rela antara dua remaja bawah umur.

Kenyataan ini membuka dimensi penting dalam isu keadilan perundangan dan realiti sosial.

Namun, sebagaimana biasa, reaksi sebahagian pihak bukan untuk meneliti kenyataan itu, tetapi menjarakkan institusi daripada kenyataan tersebut dengan menyatakan ia sebagai “pandangan peribadi”.

Fenomena ini bukan asing dalam pentadbiran kita. Ia mencerminkan satu budaya birokrasi yang terlalu berhati-hati, takut dikritik dan lebih selesa untuk mempertahankan status quo.

Menafikan pandangan atas alasan ia “tidak mewakili institusi” menjadi jalan pintas untuk mematikan perbincangan lanjut, walaupun pandangan itu datang daripada individu yang berautoriti dan berpengalaman.

Sikap seperti ini bukan sahaja tidak membantu, malah melemahkan semangat keterbukaan dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam dan profesional kerajaan.

Ia menghantar mesej bahawa sistem tidak meraikan kejujuran atau keberanian menyuarakan realiti lapangan, sebaliknya hanya menghargai pandangan yang selari dengan pendirian rasmi.

Lebih parah, ia mewujudkan suasana di mana pegawai takut untuk memberikan cadangan berbeza, bimbang disisih atau dipersalahkan. Akhirnya, hanya suara yang “selamat” dan “menyenangkan” akan didengari, manakala suara berani dan membina akan terus terpinggir.

Dalam isu yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Kelantan, terdapat beberapa perkara penting yang sewajarnya diteliti secara objektif, iaitu data dan realiti lapangan.

Jika benar hampir 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku atas dasar suka sama suka, maka ia menandakan satu corak sosial yang serius dan memerlukan pendekatan dasar yang menyeluruh, bukan sekadar hukuman semata-mata.

Kelompongan Undang-undang: Undang-undang Malaysia hanya membenarkan pendakwaan terhadap lelaki dalam kes hubungan bawah umur, walaupun ada kalanya kedua-dua pihak bawah umur dan rela melakukannya.

Situasi ini boleh dianggap tidak adil dari sudut keadilan sejagat dan perlu dinilai semula agar lebih seimbang.

Keperluan Semakan Semula Polisi dan Pendidikan: Adakah sistem pendidikan kita memberi kefahaman mencukupi mengenai seksualiti, tanggungjawab dan kesan undang-undang terhadap perbuatan yang dilakukan oleh remaja? Atau adakah kita lebih selesa untuk menghukum semata-mata tanpa memperbetulkan puncanya?

Semua persoalan ini hanya boleh dijawab jika kita bersedia untuk membuka ruang wacana yang matang dan terbuka.

Namun, jika setiap pandangan yang mencabar naratif rasmi ditolak sebagai “tidak mewakili organisasi”, bagaimana mungkin perbincangan sihat itu dapat berlangsung?

Sikap terbuka terhadap pandangan berbeza bukan tanda kelemahan politik. Sebaliknya, ia mencerminkan kematangan, keyakinan dan kesediaan untuk menambah baik sistem.

Rakyat hari ini tidak lagi menerima jawapan selamat tanpa analisis mendalam. Mereka menuntut pemimpin yang mendengar, meneliti dan berani menilai semula dasar apabila perlu.

Pemimpin politik dan pentadbiran seharusnya mengambil pendekatan yang lebih inklusif. Jika terdapat pandangan atau kenyataan daripada pegawai atau ketua jabatan, jangan terburu-buru menjarakkan diri.

Sebaliknya, nyatakan bahawa pandangan itu akan diteliti dan dibincangkan, serta dipertimbangkan dalam semakan polisi yang berterusan.

Ini bukan sahaja akan memperlihatkan kematangan kepimpinan, malah akan memulihkan keyakinan rakyat bahawa negara ini benar-benar meraikan kepelbagaian pandangan dan idea.

Sudah tiba masa kita mengakhiri budaya retorik “itu hanya pandangan peribadi”. Ia bukan sahaja lapuk, tetapi melemahkan budaya pentadbiran yang progresif.

Jika pandangan yang jujur, berpaksikan realiti dan disuarakan oleh pihak berwibawa pun tidak diberi perhatian sewajarnya, maka kepada siapa lagi kita mahu harapkan suara kebenaran?

Negara ini memerlukan lebih banyak keberanian untuk bercakap benar, dan lebih banyak pemimpin yang bersedia mendengar walaupun apa yang didengar itu tidak menyenangkan.

Hanya dengan cara itu kita mampu membina dasar yang lebih adil, undang-undang yang lebih seimbang dan sistem pentadbiran yang benar-benar berjiwa rakyat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *