JAKARTA – Lima Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia bagi penggal 2024-2029 sah digantung keanggotaan oleh parti masing-masing, menurut laporan Kompas.
Mereka ialah Ahmad Sahroni, Nafa Urbach, Eko Patrio, Uya Kuya dan Adies Kadir.
Tindakan itu sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi menerima gaji serta elaun sebagai wakil rakyat.
Keputusan itu dibuat selepas kenyataan dan sikap mereka dianggap menyinggung hati rakyat sehingga mencetuskan demonstrasi besar-besaran di beberapa daerah.
Mengikut peraturan sedia ada, Ahli DPR yang digantung sementara, masih layak menerima gaji pokok dan elaun tertentu.
Namun, Fraksi Parti NasDem meminta DPR menghentikan gaji, elaun dan semua kemudahan kepada Ahmad Sahroni dan Nafa Urbach.
Ketuanya, Viktor Bungtilu Laiskodat, berkata ia selaras dengan penggantungan dua wakil rakyat itu daripada keanggotaan DPR.
Fraksi Parti Amanat Nasional (PAN) turut meminta tindakan sama diambil terhadap Eko Patrio dan Uya Kuya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ketuanya, Putri Zulkifli Hasan, menegaskan langkah itu penting bagi menjaga akauntabiliti dan kepercayaan rakyat.
Ketua Fraksi Golkar, Muhammad Sarmuji pula menyifatkan ketiadaan gaji dan elaun kepada Adies Kadir sebagai kesan logik penggantungan tugas.
Sementara itu, Ketua Mahkamah Kehormatan Dewan (MKD), Nazaruddin Dek Gam, mengesahkan sudah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung DPR bagi menghentikan gaji dan elaun Ahli Dewan yang digantung tugas.
“MKD sudah mengirim surat kepada Setiausaha Agung (Sekjen) DPR untuk menghentikan gaji dan elaun lain kepada anggota yang digantung tugas,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Setiausaha Agung DPR, Indra Iskandar, pula memaklumkan bahawa permohonan itu sudah diterima dan dipersetujui oleh pimpinan DPR. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
