Dari Meja Editorial
KENYATAAN Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pada Isnin lalu, bahawa warga emas boleh bertahan sebulan dengan RM100, benar-benar kedengaran seperti lawak jenaka politik abad ini.
Mungkin selepas ini kita akan dengar pula formula ajaib lain, isi minyak kereta sebulan dengan RM10 atau bayar sewa rumah setahun dengan senyuman.
Barangkali Ahli Parlimen Kuantan itu lupa, kos sara hidup rakyat hari ini bukanlah kos hidup dalam mimpi indah wakil rakyat.
Beliau mungkin tidak pernah beratur di pasar malam untuk mencari sayur paling murah atau tidak pernah fikir sama ada mahu beli ubat darah tinggi atau beli sekilo beras.
Kerana elaun wakil rakyat mencecah puluhan ribu sebulan, lengkap dengan pemandu, pejabat dan pelbagai kemudahan, sedangkan rakyat pula diminta percaya RM100 boleh cukup untuk sebulan.
Ironinya, duit minyak kereta seorang YB sehari pun sudah lebih mahal daripada “bajet sebulan” yang disebut itu.
Lawak itu telah membangunkan netizen yang sedang tidur, apabila mereka bangun, pantas menyindir:
“Kalau benar RM100 cukup, apa kata elaun bulanan YB juga ditukar kepada RM100? Mari kita lihat siapa yang lebih cekap berjimat.
“Kalau benar RM100 cukup, bolehlah wakil rakyat berpindah ke rumah PPR dan menikmati kehidupan sebenar rakyat marhaen.
“Kalau benar RM100 cukup, tak perlu lagi tuntut peruntukan berjuta, cukup sahaja bagi semua MP RM100 sebulan.
Hakikatnya, kenyataan begini hanya mendedahkan betapa jauhnya sesetengah wakil rakyat daripada realiti rakyat biasa.
Harga barang melonjak, sewa rumah kian menjerut, kos perubatan makin menghimpit.
Warga emas yang sudah uzur bukan lagi mampu berdikari, apatah lagi “hidup mewah” dengan seratus ringgit sebulan.
Sebelum menyuruh rakyat percaya dengan “ilmu ekonomi ghaib” ini, eloklah Fuziah sendiri cuba hidup sebulan dengan RM100.
Tanpa elaun, tanpa pemandu, tanpa rumah besar. Tidur di flat sempit, beratur di hospital kerajaan, membeli sayur layu di hujung pasar malam.
Kalau berjaya, barulah boleh berdiri megah di depan rakyat dan berkata: Ya, aku buktikan RM100 sebulan memang cukup!”
Tetapi sehingga hari itu tiba, kenyataan ini hanyalah satu lagi bahan ketawa rakyat, sindiran pahit kepada realiti hidup yang tidak pernah dirasai oleh mereka yang hidup di menara kaca politik.
Di saat rakyat marhaen pening memikirkan harga beras yang semakin naik, minyak masak yang tidak pernah stabil, dan sayur kangkung pun sudah mencecah harga premium, kenyataan itu kedengaran seperti satu resipi ajaib dari dunia fantasi.
Ya, anda tidak tersilap baca: seratus ringgit.
Mungkin beliau membayangkan warga emas hidup ala rancangan Survivor, cukup dengan secubit garam, sebiji telur rebus setiap dua hari dan air paip sebagai pengganti jus buah.
RM100 itu baginya konon boleh menampung:
Sewa rumah? Tiada, sebab mungkin tidur di bangku taman.
Bil elektrik? Tak perlu, sebab lilin boleh dibeli dengan baki RM2.
Kesihatan? Klinik swasta mungkin sudah diganti dengan “doa dan tawakal”.
Di media sosial, netizen mula berkongsi “menu harian RM100 sebulan ala Fuziah”:
Sarapan: Angin pagi dan doa panjang.
Tengah hari: Nasi suku genggam dengan kicap cair.
Malam: Air kosong penuh kasih sayang.
Ada juga yang berseloroh, warga emas patut menghubungi Fuziah untuk dapatkan manual lengkap cara hidup “super ekonomi” ini, mungkin bakal jadi bestseller setanding buku motivasi.
Namun, di sebalik lawak dan sindiran, hakikatnya pahit. RM100 sebulan hari ini bukan sahaja mustahil untuk menampung kos hidup, malah ia menghina realiti getir warga emas yang sudah tidak berdaya mencari pendapatan tambahan.
Jika benar ada pemimpin percaya angka sebegitu wajar, jelas mereka sudah terlalu jauh dari denyut nadi rakyat. Harga sekilo ikan kembung pun sudah hampir menelan belanja RM15. Bagaimana mahu hidup sebulan dengan RM100?
Kenyataan ini sepatutnya jadi cermin untuk wakil rakyat: sebelum bersuara, ukur dulu pada realiti, bukan sekadar ilusi. Rakyat tidak perlukan “magis” kata-kata, sebaliknya solusi yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka.
Kerana kalau benar RM100 cukup untuk sebulan, mungkin sudah tiba masanya elaun wakil rakyat juga dicuba dengan bajet ajaib ini, demi membuktikan kata-kata itu bukan sekadar gurauan yang menyinggung perasaan rakyat marhaen. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001