Dua pasukan IOT ASEAN ke sempadan Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR – Dua Pasukan Pemerhati Interim (IOT) membabitkan keanggotaan daripada lima negara ASEAN akan berlepas ke sempadan Thailand-Kemboja, selewat-lewatnya 1 September ini.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata IOT itu akan membabitkan Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Beliau berkata, keseluruhan keanggotaan IOT adalah 11 orang yang diketuai pegawai berpangkat Brigedier Jeneral dengan keanggotaan masing-masing enam dan lima pegawai diletakkan di setiap pasukan.

Katanya, Malaysia akan menghantar lima pegawai menyertai pasukan terbabit.

“Kita hadir atas jemputan dari Kemboja, jadi kita akan hantar mereka ke Phnom Penh dahulu. Mereka akan diatur gerak ke Kuala Lumpur dan taklimat serta latihan akan dilakukan di sini.

“Mereka akan bergerak sebagai satu pasukan ASEAN diketuai Malaysia ke kawasan konflik. Objektif utama IOT adalah memastikan gencatan senjata berlaku sepenuhnya. Itu sahaja. Isu berkaitan tuntutan kawasan sempadan bukan masalah IOT.

“Kami dihantar ke sana untuk memastikan tidak berlaku lagi pertempuran kecil, tembak-menembak di sempadan dan mencari keamanan, yang menjadi tugas kami,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH.

Sebelum ini, BH melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan untuk menambah bilangan IOT ASEAN di sempadan Thailand-Kemboja hanyalah langkah sokongan tanpa sebarang implikasi campur tangan pihak luar.

Perdana Menteri berkata, pasukan tambahan itu boleh diambil daripada kalangan pegawai pertahanan atau wakil kedutaan ASEAN di negara terbabit sekiranya pasukan sedia ada tidak mencukupi.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, pasukan IOT itu akan berada di kawasan konflik untuk tempoh tiga bulan dan selepas itu boleh dipanjangkan kepada enam bulan.

“Kita berharap selepas tempoh ini, Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) akan berlangsung dan selepas itu Mesyuarat Usaha Pertahanan seterusnya Jawatankuasa Sempadan Am (JBC). Biarlah jalan perundangan dalam menyelesaikan konflik di sana,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting kepada kedua-dua negara berjiran itu saling mencari kedamaian dalam pergolakan sempadan yang berlaku.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *