Serangan bom: Rakyat Kelantan diminta tangguh perjalanan ke Thailand

KOTA BHARU – Rakyat Malaysia yang merancang mengunjungi Thailand diminta menangguhkan dahulu hasrat itu berikutan kejadian serangan bom di pekan Tak Bai, Narathiwat, semalam.

Peringatan itu dikeluarkan kerajaan Kelantan menerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri kepada seluruh rakyat di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, aspek keselamatan perlu diutamakan terutama bagi mereka yang masih perlu meneruskan perjalanan ke negara jiran itu.

“Kes pengeboman di Thailand bukan perkara baharu. Sementara suasana belum stabil, rakyat negeri ini sebaiknya menangguhkan rancangan untuk ke sana, terutamanya ketika musim cuti yang bakal tiba.

“Langkah pencegahan ini penting bagi mengelak kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri.

“Apabila berlaku insiden seperti ini, ia wajar dianggap sebagai amaran untuk tidak ke sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan kedua Nasi Kerabu Kaklah di Kampung Kayu Rendang, Melor, di Kota Bharu.

Semalam, media melaporkan tiga anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan cedera selepas sebuah kereta yang dipasang bom meletup berhampiran pusat pemeriksaan di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai.

Menurut pihak berkuasa, sebuah kereta berwarna hitam dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu telah dipandu ke arah timbunan guni pasir di pos berkenaan sebelum meletup.

Dua suspek dilihat melarikan diri menggunakan motosikal selepas kejadian. Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah mereka namun kedua-duanya berjaya meloloskan diri.

Selepas kejadian, kawasan berkenaan segera dikawal ketat. Pasukan Unit Pemusnah Bom (EOD) dihantar bagi memastikan tiada bahan letupan lain ditanam di sekitar lokasi.

Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Namun, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan gerakan pemberontakan bersenjata yang berlarutan di wilayah selatan Thailand.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *