KUALA LUMPUR – Filem kerjasama Malaysia-Taiwan, “Sayang” sentuhan pengarah dokumentari terkenal Taiwan, Tang Hsiang-Chu kini memasuki fasa pasca-produksi dan dijangka ditayangkan di pawagam, tahun depan.
Sayang adalah filem cereka pertama Hsiang-Chu yang sebelum ini memenangi Anugerah Dokumentari Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-39 menerusi karyanya, How High Is the Mountain. Lantas Sayang menjadi antara projek antarabangsa paling dinanti peminat naskhah garapan Hsiang-Chu.
Lebih menarik, Sayang mencatat sejarah sebagai filem Malaysia pertama dihasilkan pengarah Taiwan dan menerima pengiktirafan Anugerah Skrip Cemerlang Ke-44 (Kategori Khas) daripada Biro Pembangunan Industri Audiovisual dan Muzik, Kementerian Kebudayaan Taiwan.
Memulakan penggambaran selama 40 hari di Pantai Timur sejak April lalu, Sayang memaparkan kisah tiga remaja dari latar belakang berbeza yang membesar di Kelantan dan Terengganu.
Hsiang-Chu berkata, inspirasi menghasilkan Sayang tercetus selepas menyaksikan keharmonian antara kaum ketika bekerja di Pantai Timur pada 2012.
Skrip mula ditulis kira-kira 13 tahun lalu, namun projek hanya direalisasikan pada 2021 selepas bertemu penerbit, Nicole Teoh.
“Sayang bermaksud cinta, kasih dan kelembutan dalam bahasa Melayu. Ada rakan mengatakan filem ini seperti surat cinta kepada Malaysia.
“Ada juga yang menyamakan semangat filem ini hampir dengan karya Allahyarham Yasmin Ahmad.
“Namun, saya tidak berani menyamakan diri dengan karya hebat arwah Yasmin. Subjek utama filem ini bertujuan membina kefahaman antara budaya,” katanya.
Hsiang-Chu yang lebih cenderung kepada sejarah, budaya dan kisah migrasi Malaysia menyifatkan negara ini kaya dengan khazanah seni untuk diangkat dalam projek dokumentari, filem, novel, dan seni.
Sayang diterbitkan bersama More Entertainment Sdn Bhd dari Malaysia; IS Entertainment Co Ltd (Taiwan); penerbit eksekutif Yeh Ju-Feng dan Jin Ong serta penerbit, Teoh.
Filem ini juga mendapat sokongan Astro Shaw; Taiwan Creative Content Agency (TAICCA); Taipei Film Commission; Applause Entertainment Pvt Ltd dan pelabur persendirian dari kedua-dua negara.
Projek ini menghimpunkan lebih 100 tenaga produksi dan pelakon Malaysia, Taiwan dan India. Barisan pelakon yang membintanginya adalah Amir Ahnaf, Farah Ahmad, Khir Rahman, Mhia Farhana dan Ong Ai Leng.
Pelakon lain termasuk termasuk Johnathan Lee, Tan Li Yang, Jo Kukathas dan Nandagopall serta pelakon Taiwan seperti Lee Lee-Zen dan bintang muda Taiwan, Tang Yung-Hsu.
Ong yang sebelum ini meraih pujian antarabangsa melalui filem terbitan 2023, iaitu Abang Adik, berkongsi cabaran besar menghasilkan Sayang. Akui Ong halangan terbesar membabitkan isu logistik dan kekangan pengetahuan terhadap geografi serta budaya setempat di pantai timur.
Bagaimanapun, Ong berkata, semua cabaran itu terasa berbaloi apabila dia menyaksikan sendiri keindahan landskap dan kekayaan budaya yang belum banyak diketengahkan di layar perak.
Ong mengakui perjalanan ke Kelantan dan Terengganu memberi ketenangan dan inspirasi baharu dalam menerbitkan naskhah berkenaan.
“Sepanjang penggambaran, saya berdepan pelbagai cabaran termasuk kos produksi tinggi. Tetapi, setiap kali saya lihat pemandangan indah di Pantai Timur, semua kesukaran terasa lebih ringan,” katanya.
Ong tertarik dengan skrip filem ini ketika menghadiri acara Golden Horse Film Project Promotion (FPP) 2022. Sejak itu, Ong bertekad membawa karya ini ke layar perak. Lantas, Ong berharap filem Sayang mampu membuka mata dunia terhadap keunikan pantai timur yang disifatkan sebagai permata tersembunyi negara.
Teoh mengakui cabaran terbesar dalam menghasilkan Sayang adalah sifat naskhah itu yang berbilang bahasa, budayadan agama.
“Gabungan pelakon dan kru dari pelbagai latar belakang memerlukan penelitian rapi.
“Usaha ini penting supaya setiap elemen budaya disampaikan secara autentik dan penuh hormat,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001