PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan program Picnic & Potluck lebih awal pagi ini selepas dilaporkan sedikit keletihan.
Program berlangsung di Tasik Putrajaya bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu diadakan sempena sambutan kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh tiba jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem‘ di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Antara yang menunggu kehadiran beliau ialah Siti Hasmah; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; serta anak beliau, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Lebih 500 hadir memeriahkan program dengan membawa pelbagai makanan untuk bersarapan secara santai bersama keluarga di tepi tasik.
Dr. Mahathir dilihat meninggalkan program kira-kira jam 10 pagi sebelum sempat beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai yang hadir.
Menurut sumber, Dr. Mahathir dan isteri beredar lebih awal untuk pulang dan berehat di rumah.
Sementara itu, Mokhzani berkata, bapanya tidak mengalami masalah kesihatan, namun keletihan selepas menghadiri satu program semalam serta kurang tidur.
Katanya, pagi ini pula Dr. Mahathir terus berkayuh agak jauh, jadi beliau berasa sedikit letih.
“Selepas bersarapan dan menjamah sedikit kuih serta kopi beliau kembali segar,” katanya.
Sementara itu,kepadatan jadual menyebabkan Dr. Mahathir mengalami keletihan.
Perkembangan itu dimaklumkan Mokhzani menerusi rakaman video pendek berdurasi seminit 38 saat yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Anak kedua Dr. Mahathir itu turut memohon maaf kepada pengunjung yang tidak berkesempatan meluangkan masa bersama Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.
Beliau juga memberi bayangan program hampir serupa mungkin dianjurkan kelak, bertujuan memberi ruang kepada orang ramai beramah mesra dengan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
“Semalam kita ada program dan hari ini pula program dimulakan agak awal, selain sebelum itu (Picnic & Potluck) kita ada program lain.
“Tun M mungkin agak penat sedikit dan tidak dapat menyambut semua orang yang hadir hari ini.
“Terima kasih sudi hadir ke program ‘Picnic & Potluck’. Suasana sangat meriah dan Alhamdulillah orang tua saya, Tun M dan Tun Hasmah dapat bersama.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kita dapat meraikan ulang tahun kelahiran kedua-dua mereka hari ini, dengan semua orang di Putrajaya, di tasik yang dia (Dr Mahathir) suka datang beriadah, kayuh basikal dan sebagainya,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001