PUTRAJAYA – Sekretariat Orang Melayu sudah merangka untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan diputuskan pada mesyuarat pertamanya dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya.
Beliau berkata, pihaknya kini di peringkat akhir menyenaraikan nama-nama yang akan berada dalam jawatankuasa berkenaan, dan jika selesai akan diumumkan secepat mungkin.
“Sepertimana yang diputuskan, kita akan adakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.
“Setakat ini senarai nama-nama itu kita belum putuskan seratus peratus. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan adakan mesyuarat dan akan memaklumkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sekretariat Orang Melayu juga mendokong apa sahaja gerakan yang sudah dilakukan, termasuk Himpunan Turunkan Anwar, yang dipelopori Dewan Pemuda Pas pada 26 Julai ini.
“Kami memberi sokongan seratus peratus ini selepas melihat keadaan dan situasi negara yang hari ini terlalu meruncing, menyebabkan bukan sahaja dari segi pentadbiran, tetapi juga kedudukan rakyat itu sendiri.
“Saya merasakan sudah sampai masanya untuk kita bangkit bersama menolak sebuah kerajaan yang tidak ada keprihatinan dan tidak mempunyai sebarang hala tuju mengenai menjaga kepentingan rakyat.
“Maka, sebab itulah kami di Sekretariat Orang Melayu ini, walau apa sekalipun berlaku, kita akan tetap meneruskan tanpa berbelah bahagi. Ini selaras dengan apa yang kita perjuangkan,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001