ND rasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak wajar mengenakan saman kepada penumpang bas ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar.
Ini kerana, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi mengenai pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk bas, melainkan mengeluarkan kenyataan spontan, tanpa menyatakan bila akan berkuatkuasa.
Tambahan pula, setakat ini tidak ada sebarang kempen secara menyeluruh dan meluas dilakukan kementerian mahupun agensi-agensi di bawahnya mengenai penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar.
Alih-alih, JPJ buat operasi dan keluarkan saman. Ini suatu tindakan mengejutkan orang ramai, terutama yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas.
Lagi pula, penggunaan tali pinggang keledar ini hanya tertumpu kepada bas ekspres sahaja, manakala bas bandar, semua jenis pengangkutan rail, grab dan kereta persendirian tidak dikuatkuasakan. Undang-undang apakah ini?
Kalau kementerian benar-benar nak jaga keselamatan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam, semua jenis kenderaan wajib dikuatkuasakan pemakaiannya.
ND kesian kepada penumpang bas. Tengah lena tidur dalam perjalanan ke destinasi, tiba-tiba mereka diganggu dengan pemeriksaan mengejut anggota penguatkuasa JPJ.
Boleh dikatakan, semua, tidak terkecuali seorang pun penumpang dikenakan saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar. Bukan setakat penumpang itu, ND sendiri pun tidak tahu ia dah berkuatkuasa.
Tidak ada satu pun risalah atau poster ditampal di stesen-stesen bas atau kempen secara meluas dilakukan kementerian memberi kesedaran kepada penumpang supaya pakai tali pinggang keledar.
Alangkah malangnya penumpang. Daripada nak menjimatkan wang balik kampung dengan bas, jadi satu pembaziran pula, kena bayar saman berjumlah RM300 seorang.
Kerajaan tidak wajar menekan rakyat. Lebih lagi yang menggunakan bas adalah golongan B40 dan M40. Mereka sudah berdepan dengan sistem cukai SST berkuatkuasa 1 Julai lalu, kali ini wang mereka dikikis lagi oleh saman, hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Sepatutnya, kalau benar kerajaan mahu berikan kesedaran kepada penumpang bas, sekurang-kurangnya mereka arahkan kepada semua syarikat bas supaya beri peringatan kepada penumpang yang menaiki bas berkenaan supaya memakai tali pinggang keledar.
Kalau ada yang degil juga, itu mereka tanggunglah. Ini seratus peratus penumpang tidak tahu pun penguatkuasaannya, walaupun setiap kerusi bas dipasang tali pinggang keledar.
Ini samalah macam kenderaan persendirian, kerusi belakang dipasang tali pinggang keledar, tetapi setakat ini penumpang belakang tidak diwajibkan memakainya, kerana di peringkat kementerian sendiri masih berbelah bahagi dari segi pelaksanaannya.
Ingatlah, PRU 16 akan tiba tidak sampai tiga tahun lagi. Apa yang kerajaan lakukan ini akan rakyat kenang sampai bila-bila. Ketika belum jadi kerajaan, janji macam-macam, bila dah jadi kerajaan, buat macam-macam perkara yang menekan rakyat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001