Ahli arkeologi Peru temui bandar purba berusia 3,500 tahun, hubungkan pantai dan Andes

LIMA – Sekumpulan ahli arkeologi di Peru telah mendedahkan penemuan luar biasa sebuah bandar purba berusia 3,500 tahun yang dipercayai berfungsi sebagai pusat perdagangan utama antara masyarakat di pesisir Pasifik, kawasan pergunungan Andes dan hutan Amazon.

Bandar yang dinamakan Peñico itu terletak di wilayah Barranca utara, kira-kira 600 meter dari paras laut, dan dipercayai diasaskan antara tahun 1800 hingga 1500 SM.

Ia muncul selepas kejatuhan tamadun Caral, tamadun tertua di benua Amerika yang berkembang secara terpencil sekitar 5,000 tahun lalu.

Menurut ketua penyelidik, Ruth Shady, Peñico dibina di lokasi strategik untuk pertukaran budaya dan perdagangan.

“Mereka berada di titik pertemuan antara pantai, tanah tinggi dan hutan – sangat penting untuk interaksi sosial dan ekonomi,” katanya.

Selepas lapan tahun kajian, pasukan penyelidik telah mengenal pasti 18 struktur utama, termasuk kuil upacara, kompleks kediaman, dan dataran pusat yang dihiasi dengan ukiran pada permukaan dinding dan lantai batu, memperlihatkan gambaran alat muzik purba seperti pututu, sejenis trompet kulit siput yang digunakan untuk komunikasi jarak jauh.

Penemuan lain termasuk patung tanah liat berbentuk manusia dan haiwan, objek ritual, serta rantai manik dan kulit siput yang menunjukkan hubungan perdagangan dengan kawasan pesisir dan tropika.

Peñico kini dianggap sebagai kesinambungan tamadun Caral dan bukti penting tentang pemulihan budaya selepas perubahan iklim yang memusnahkan tamadun terdahulu.

Ia juga memperkukuh kedudukan Peru sebagai pusat arkeologi dunia, seiring dengan tapak terkenal seperti Machu Picchu dan garisan misteri Nazca.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *