ROME – Bintang tenis Jannik Sinner mencuba bakat dalam bidang muzik apabila dia melancarkan lagu duet bersama penyanyi tenor terkenal Itali, Andrea Bocelli semalam.
Lagu bertajuk “Polvere e Gloria” (Debu dan Kemuliaan) itu menampilkan juara Grand Slam tiga kali itu – bukan sebagai penyanyi, tetapi mengulangi ucapan-ucapan kemenangannya dan juga kekalahannya, yang dirakam di studio milik Bocelli di Tuscany.
“Saya amat gembira dan berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek ini bersama Andrea, yang selama 30 tahun merupakan suara unik dan luar biasa serta lambang kebanggaan negara kami di mata dunia,” kata Sinner, pemain nombor satu dunia.
“Saya tidak pernah terfikir akan mendengar suara saya dalam salah satu lagu beliau. Ia sangat menyentuh hati.”
Sinner menjuarai Terbuka AS (2024) serta Terbuka Australia pada 2024 dan 2025, menjadikan keseluruhan 19 gelaran ATP dalam kariernya.
Baru-baru ini, dia muncul naib juara Terbuka Perancis di Roland Garros selepas tewas di atas gelanggang tanah liat.
Lagu itu menampilkan lirik dalam bahasa Itali dan Inggeris.
Video muzik iringan menunjukkan Sinner dan Bocelli, dua figura Itali yang amat terkenal di dunia, berada dalam suasana pedalaman yang tenang, duduk bersama di samping piano.
Video itu juga memaparkan gambar peribadi dan arkib zaman kanak-kanak kedua-dua tokoh, serta adegan kolaborasi mereka di estet milik Bocelli.
Bocelli, 66, pernah membuat persembahan dalam acara besar seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia, manakala Sinner adalah pemain tenis perseorangan pertama Itali menghuni ranking nombor satu dunia, sama ada lelaki mahupun wanita.
Bagaimanapun, imej Sinner sebagai wira kebangsaan Itali sedikit tercalar akibat skandal doping berprofil tinggi yang akhirnya menyebabkan dia digantung selama tiga bulan antara Februari hingga Mei.
Sejak kembali beraksi, Sinner, 23, mara ke final Masters 1000 di Rome dan final Terbuka Perancis, namun tewas dalam kedua-dua perlawanan kepada musuh utamanya dari Sepanyol, Carlos Alcaraz. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001