‘Saya ingat operasi tembak gagak, rupanya ada orang ditembak’

KLANG – “Saya sangka operasi tembak gagak atau bunyi mercun, rupanya orang kena tembak,” kata seorang pemilik kedai runcit mengenai kejadian lelaki ditemukan maut ditembak di dalam kereta berhadapan sebuah kedai motosikal di Meru, Klang, semalam.

Wanita berusia 50-an yang enggan dikenali itu berkata, kejadian pada jam 3.20 petang itu berlaku dengan pantas menyebabkannya sukar memastikan arah bunyi tembakan yang dilepaskan beberapa kali.

“Saya sedang mengikat bunga untuk dijadikan kalung sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun.

“Saya terus pandang ke arah sebuah kedai motosikal yang jaraknya hanya 20 meter dan nampak beberapa individu termasuk pekerja kedai motosikal itu lari ke arah kedai saya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Wanita berkenaan memaklumkan kejadian seumpama itu kali pertama berlaku di kawasan Taman Meru Utama sepanjang tempoh dia dan keluarga mengusahakan perniagaan barang runcit dan makanan sejak lima tahun lepas.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun mati ditembak di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *