Oleh: Rudysham Abdul Raof
MENJEJAK kaki buat julung kali ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sememangnya membibitkan rasa teruja di kalangan kumpulan101 graduan Sarjana Rajadhani Business School (RBS) Kerala, India.
Kehadiran yang disambut penuh mesra pegawai USIM di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) membuatkan mereka seolah-olah jatuh cinta dengan pesona ketika menyantuni mereka.
Meskipun hadir sebagai peserta sehari dalam program International Immersion Program 2025: Entrepreneurship Workshop & Global Engagement Visit, semestinya tidak mencukupi buat graduan berkenaan menyaksikan keunikan dan keindahan salah sebuah menara gading negara yang terletak di Bandar Nilai, Negeri Sembilan.

Pengurus Program, Ameera Baharuddin berkata, kehadiran kali pertama graduan dari RBS Kerala itu sebenarnya mendebarkan kerana institut pengajian tinggi itu agak terkenal di India.
“Memang perasaan kami bergetar dan berdebar. Mereka adalah golongan elit yang menuntut di Kerala, India. Kami cukup bimbang jika ada di kalangan mereka tidak ‘suka’ di sini.
“Namun, tuah menyebelahi kami kerana rata-rata memberi reaksi positif dan tidak putus berterima kasih kerana layanan mesra kami untuk mereka terus ‘jatuh cinta’ dengan USIM,” katanya sebagai penganjur bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan USIM Education.

Program yang dihadiri dua pensyarah kanan RBS, Penolong Prof. Shinu R dan Vidhya S, manakala dari UiTM, Timbalan Dekan Seni dan Reka Bentuk, Prof. Madya Ts Dr. Rohana Zur dan Pensyarah Kanan Fakulti Komputer Sains dan Matematik, Dr. Maslina Abdul Aziz dan Penolong Pendaftar Kanan USIM, Marwan Tahir.
Dr. Rohana pula berkata, beliau menyanjung tinggi usaha USIM yang memberi respon yang agak memberangsangkan kepada graduan yang hadir mengadakan lawatan sehari di institusi pengajian tinggi awa mini (IPTA).
“Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak USIM kerana menyediakan tempat yang agak indah serta menggembirakan semua pihak, terutama mereka yang baru pertama kali menjejak kaki ke sini,” katanya.

Sementara itu, Marwan berkata, beliau berharap program berkenaan menjadi acara tahunan di USIM kerana ia memberi impak kepada usaha universiti itu menjayakan pendidikan pelancongan.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sambutan meriah buat graduan sarjana RBS dan bersyukur kerana semua pihak gembira menjayakan acara berprestij ini,” kata Marwan – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001