JAKARTA – Tertekan akibat desakan berkahwin menyebabkan seorang anggota tentera laut Indonesia hilang pertimbangan sehingga tergamak membunuh teman wanitanya.
Akibat tindakan itu, Mahkamah Tentera Banjarmasin I-06, semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Kelasi Satu, Jumran, 23.
Ketua Hakim, Leftenan Kolonel Arie Fitriansyah berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas mendapati tertuduh bersalah membunuh dengan niat terhadap teman wanitanya, Juwita, yang juga wartawan portal berita tempatan.
“Tertuduh secara sah dan meyakinkan terbukti melakukan pembunuhan terancang itu.
“Oleh itu, hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan ke atasnya,” katanya ketika membacakan keputusan di bilik mahkamah.
Tertuduh masih dalam tahanan dan diberi tempoh tujuh hari dari 17 Jun untuk menerima keputusan atau mengemukakan rayuan.
Sementara itu, Jumran berkata, dia akan memikirkan perkara itu selepas berbincang dengan peguamnya.
Siasatan mahkamah mendapati, Jumran bertindak membunuh Juwita selepas tertekan dengan desakan keluarga mangsa yang mahu mereka berkahwin segera.
Tertuduh dilapor mengalami tekanan emosi dan enggan meneruskan hubungan itu.
Selain hukuman utama, mahkamah turut memutuskan membuang Jumran daripada perkhidmatan Tentera Laut Indonesia, berkuat kuasa serta merta.
Pada 22 Mac lalu, mayat Juwita ditemukan terbaring di tepi Jalan Trans-Gunung Kupang, daerah Cempaka, Banjarbaru, Kalimantan Selatan, bersama motosikalnya.
Pada awalnya kematiannya dikaitkan dengan kemalangan, namun kesan lebam pada leher dan kehilangan telefon bimbit mangsa menimbulkan syak wasangka.
Siasatan forensik akhirnya mengesahkan, Juwita dicekik dan diserang secara fizikal.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001