2 lelaki maut ditembak di hadapan pusat beli-belah di Cheras

KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.

Ketika kejadian sekitar jam 12.15 tengah malam itu, kedua-dua mangsa dilaporkan menuju ke kereta yang diletakkan di pekarangan pusat beli-belah berkenaan.

Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang pada ketika itu berada di bahagian luar pekarangan berkenaan.

“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah,” katanya kepada BH yang berada di lokasi kejadian.

Kumpulan lelaki terbabit yang dilaporkan bersenjata pistol kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Alza.

“Kedua-dua mangsa itu yang ditembak pada bahagian badan dan kepala disahkan mati di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di lokasi mendapati mayat kedua-dua mangsa terbaring dalam jarak lima meter di hadapan kenderaan mereka.

Pada masa sama, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dengan dibantu Unit Forensik Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an, berasal dari Sibu, Sarawak.

Polis Kontinjen Kuala Lumpur dilaporkan sedang mengumpul maklumat daripada saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian ini dalam masa terdekat.

Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan mati manakala dua lagi rakannya cedera selepas ditembak seorang daripada dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.

Ketika kejadian sekitar jam 10.20 malam itu, mangsa yang mati bersama beberapa rakan sedang minum di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields sebelum didatangi suspek bersenjatakan pistol.

Dua lagi mangsa cedera parah dan cedera ringan.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti suspek dan motif kejadian.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *