Ada apa dengan kerusi 11A

BANGKOK – Penyanyi dan pelakon Thailand, James Ruangsak Loychusak, kembali dihantui insiden tragis yang hampir meragut nyawanya 27 tahun lalu selepas mengetahui ada penumpang tunggal terselamat dalam nahas pesawat Air India, minggu lalu.

James, 45, antara 45 penumpang yang terselamat dalam nahas pesawat Thai Airways pada 11 Disember 1998 yang mengorbankan 101 nyawa.

Kenangan ngeri itu kembali menghantuinya selepas dia mengetahui penumpang terselamat dalam insiden Air India AI 171, Vishwashkumar Ramesh, turut duduk di tempat sama dengannya, iaitu kerusi 11A.

“Satu-satunya yang selamat dari nahas pesawat di India duduk di kerusi yang sama dengan saya 11A. Mengerikan,” tulisnya dalam hantaran di Facebook yang dipetik Nation Thailand, Jumaat lalu.

Menurut laporan Kaosod, James mengakui mengalami trauma terhadap penerbangan selama lebih 10 tahun.

Katanya, setiap kali menaiki pesawat, dia akan mengalami peluh sejuk di tapak tangan, kesukaran bernafas dan degupan jantung tidak menentu.

“Saya tak akan bercakap dengan sesiapa sepanjang penerbangan dan akan terus menatap keluar tingkap.

“Malah, saya tak benarkan sesiapa tutup jendela tempat duduk saya,” katanya.

Ketakutan itu lebih memuncak jika terbang ketika hujan, kerana cuaca sebegitu mengingatkannya kepada tragedi Thai Airways yang berlaku ketika ribut petir.

James bersyukur isterinya sentiasa berada di sisi, memegang tangan dan memberikan kata-kata semangat setiap kali dia kelihatan cemas ketika dalam penerbangan.

Pesawat Airbus A310 milik Thai Airways yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok menuju ke Lapangan Terbang Surat Thani.

Pesawat berlepas pada 5.54 petang dan sepatutnya tiba di destinasi, kira-kira 7 malam.

Namun akibat cuaca buruk, pesawat gagal mendarat dalam tiga kali percubaan.

Pada cubaan keempat, ‘hidung’ pesawat dikatakan terangkat terlalu tinggi sehingga menyebabkan ‘stall’ iaitu kehilangan daya angkat secara mengejut sebelum terhempas pada 7.08 malam.

Seramai 101 daripada 146 penumpang terbunuh, manakala 45 terselamat termasuk James yang ketika itu berada di kerusi 11A sama seperti Ramesh dalam nahas Air India, 12 Jun lalu.

Tragedi itu membabitkan nahas kedua paling buruk dalam sejarah penerbangan Thailand selepas insiden Lauda Air 004.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *