DAP tuntut peguam negara jelas ‘keterangan tak cukup’ kes Teoh Beng Hock

PETALING JAYA – DAP menggesa Peguam Negara, Dusuki Mokhtar menjelaskan secara terperinci mengapa keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kesalahan jenayah membabitkan kematian Teoh Beng Hock.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook turut menggesa Dusuki menyemak semula keputusan Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan siasatan ke atas kematian Teoh pada 2009 sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Peguam negara, dan tiada orang lain, mempunyai budi bicara untuk mendakwa di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata Gobind dan Loke dalam kenyataan bersama.

“Beliau perlu menjelaskan mengapa tidak dapat berbuat demikian dalam kes ini, khasnya berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan dan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi.”

Mereka berkata, DAP konsisten dalam gesaannya supaya tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab atas kematian Teoh.

Kenyataan itu menyusul surat bertarikh 30 Mei lalu daripada Dusuki kepada peguam keluarga itu, Ramkarpal Singh, yang mahu penjelasan terhadap keputusan AGC mengklasifikasikan kes itu NFA.

Dusuki dalam surat itu berkata, keterangan sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kematian Teoh.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas disoal siasat selama berjam-jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *