Dokumentari khas 'Di Sebalik Mahkota' sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17

Titah Agong bukan campuri urusan pentadbiran, sebaliknya intervensi Perlembagaan – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong mengenai senario politik dalam negara bukan bermaksud mencampuri urusan pentadbiran kerajaan

Sebaliknya, penganalisis politik, Dr. Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, titah berkenaan merupakan suatu nasihat berasaskan intervensi menurut kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi saya Yang di-Pertuan Agong bukan bermaksud cuba mencampuri urusan pentadbiran negara, tetapi ia merupakan intervensi Perlembagaan. Tindakan Yang di-Pertuan Agong menurut peranan perlembagaannya untuk menegur dan turun ke padang secara eksplisit. Ini bermaksud sistem politik negara gagal berfungsi dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Menyentuh mengenai istilah virus yang dirujuk oleh Yang di-Pertuan Agong pula, Zaharuddin Sani berpandangan, ia merujuk kepada perpecahan dalam kalangan rakyat dan isu-isu kontroversi yang melanda negara ketika ini.

“Malaysia ibarat sedang melawan sejenis virus yang agresif. Bukan sahaja virus fizikal seperti pandemik (COVID-19) tetapi virus berbentuk perpecahan politik, kepercayaan yang terhakis dan keperibadian bangsa yang semakin menghilang,” ujarnya.

Dalam temu bual yang sama, Mantan Ahli Tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC), Dr G Manimaran juga bersetuju bahawa titah baginda tidak melanggar lunas perlembagaan.

Pada masa sama, beliau berpendapat, titah sedemikian dibuat memandangkan sejak krisis politik yang tercetus akibat Langkah Sheraton 2020, ahli politik masih tidak berhenti bersaing merebut kuasa berbanding memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat.

“Kita perlu anggap pandangan Yang di-Pertuan Agong sebagai nasihat daripada seorang bapa kepada anaknya. Baginda berperanan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai individu paling tinggi dalam hierarki kerajaan.

“Ini bermaksud mana-mana pihak boleh tubuhkan parti politik. Itu adalah hak yang tidak boleh dinafikan. Tetapi adakah hak dan kebebasan itu digunakan untuk kepentingan rakyat dan negara?

“Pada pemerhatian saya, parti politik lebih banyak menyentuh isu-isu yang tidak konstruktif untuk manfaat negara,” kata Penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir itu.

Seri Paduka Baginda berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini pada Isnin.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *