TUDM mula siasatan untuk pastikan keselamatan pesawat Hawk

KOTA TINGGI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memulakan siasatan untuk memastikan keselamatan pesawat pejuang Hawk.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu, susulan insiden pesawat pejuang Hawk tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, pada Selasa.

“Insiden pesawat pejuang jenis Hawk yang tergelincir di Alor Setar, Kedah, tidak membabitkan sebarang kecederaan fizikal.

“TUDM telah memulakan siasatan untuk pastikan keselamatan kesemua pesawat pejuang Hawk berkenaan. Terpulang pada TUDM berapa lama tempoh siasatan akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Bhd di Ladang Telok Sengat, di sini, hari ini.

Selasa lepas, TUDM dilaporkan mengesahkan sebuah pesawat pejuang jenis Hawk 208 miliknya tergelincir dari landasan, selepas mengalami masalah pada gear pendaratan hadapan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar di Kedah.

Dalam kenyataan rasminya, TUDM dilaporkan memaklumkan insiden berlaku kira-kira jam 5 petang ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan Opening Gambit sebagai persiapan acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).

Bagaimanapun juruterbang pesawat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *