Pemberontakan di Selatan Thailand memuncak, kerajaan buru pemimpin militan

BANGKOK – Pemberontakan di selatan Thailand kembali memuncak, memaksa kerajaan bertindak tegas dengan merangka semula pelan untuk memburu serta melumpuhkan rangkaian kepemimpinan militan.

Menurut laporan The Nation/ANN, tiga kumpulan utama yang menjadi sasaran militan di wilayah sempadan selatan negara itu ialah masyarakat Buddha Thai, pegawai kerajaan (termasuk penjawat awam, anggota tentera, polis dan sukarelawan), serta umat Islam yang bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Beberapa siri serangan di selatan Thailand termasuk insiden tembakan terhadap sami dan sami muda yang sedang mengutip derma di Daerah Saba Yoi, Wilayah Songkhla.

Selain itu, ia turut membabitkan insiden tembakan rambang di Daerah Tak Bai di Narathiwat yang mengorbankan tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun dan seorang warga emas berusia 70 tahun serta mencederakan dua yang lain.

Ia turut membabitkan serangan pandu lalu di Daerah Cho-airong, Narathiwat yang mengakibatkan kematian seorang wanita buta berusia 76 tahun dan mencederakan anak lelakinya yang berusia 50 tahun ketika mereka dalam perjalanan ke hospital.

Serangan berkenaan menyasarkan individu yang lemah dan tidak bersenjata, jelas bertujuan mencetuskan kemarahan masyarakat dan ternyata berjaya.

Keganasan itu mendapat kecaman meluas dan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan untuk bertindak segera dan berkesan.

Penganalisis keselamatan mengaitkan gelombang keganasan terbaharu ini dengan beberapa faktor utama antaranya rundingan damai yang tergendala di bawah kerajaan Srettha Thavisin dan Paetongtarn Shinawatra, khususnya selepas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai menyeru perubahan strategi, tetapi gagal melantik wakil rasmi Thailand untuk dialog.

Faktor lain adalah membabitkan konflik dalaman dalam Barisan Revolusi Nasional (BRN) antara puak lama dan generasi baharu yang kini bertindak secara bebas dan ketegangan yang meningkat ketika bulan Ramadan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Selain itu, faktor pengurangan sekatan jalan raya di laluan kecil susulan aduan penduduk sempena pelaksanaan dasar Ramadan Panjor serta keletihan dalam kalangan pasukan keselamatan yang menyebabkan kelemahan kawalan keselamatan.

Gerakan politik untuk menuntut status pentadbiran khas di wilayah berkenaan serta kenyataan terbuka pemimpin kerajaan yang dilihat memberi tekanan masa, mungkin mencetuskan provokasi balas oleh kumpulan militan menjadi antara faktor berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattapon Nakpanich dijadualkan mengadakan lawatan ke selatan negara itu hari ini untuk bertemu pemimpin agama dan menggerakkan semula semangat pasukan keselamatan tempatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *