Wanita maut dipercayai tercampak keluar van di tepi KESAS

KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditemui maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.58 petang tadi berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan melihat seorang wanita tercampak keluar dari sebuah van sebelum kenderaan itu didakwa terus meninggalkan lokasi dalam kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2.35 petang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

“Mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 44 tahun dan beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Aidil berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke HCTM UKM untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti pemandu van dan motif kejadian,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *