SANAA – Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel melancarkan serangan ke atas Yaman semalam, sehari selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran itu mendakwa melepaskan peluru berpandu ke arah lapangan terbang utama Israel.
Saluran televisyen Al-Masirah dikendalikan Houthi menyalahkan AS-Israel melakukan pencerobohan dan melaporkan enam serangan udara membabitkan pelabuhan Hodeida di pantai barat Yaman, selain serangan di daerah Bajil dalam wilayah sama.
Israel mengesahkan melancarkan serangan itu, manakala seorang pegawai AS menafikan pembabitan negara itu dalam serangan berkenaan.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, jet pejuangnya menyasarkan lokasi milik kumpulan Houthi di sepanjang pesisir pantai Yaman serta kawasan pedalaman.
Menurut kenyataan itu, pelabuhan Hodeida yang dikuasai kumpulan itu didakwa digunakan untuk pemindahan senjata Iran, peralatan ketenteraan dan barangan lain untuk tujuan keganasan.
Di Bajil, tentera Israel berkata, mereka menyasarkan kilang konkrit, yang berfungsi sebagai sumber ekonomi penting untuk Houthi.
Seorang pegawai pertahanan AS, yang enggan dikenali, menegaskan tentera AS tidak terbabit dalam serangan Israel ke atas Yaman.
Jurucakap Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi, Anees al-Asbahi berkata, dalam satu kenyataan di platform X bahawa 21 orang cedera dalam serangan di Bajil.
Terdahulu, agensi berita Saba milik Houthi melaporkan serangan AS menyasarkan ibu negara Sanaa dan jalan menuju lapangan terbang, menyebabkan 16 cedera, menurut Kementerian Kesihatan pemberontak itu.
Al-Masirah turut melaporkan empat lagi serangan di Sanaa dan tujuh serangan di wilayah utara Al-Jawf.
Serangan berkenaan berlaku susulan kenyataan Israel bahawa sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman kelmarin, telah mengenai kawasan dalam perimeter Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion berhampiran Tel Aviv – ia adalah kali pertama kejadian seperti itu berlaku.
Kumpulan Houthi mengaku bertanggungjawab dan mendakwa melancarkan ‘peluru berpandu balistik hipersonik’ ke arah lapangan terbang Ben Gurion yang iuga pintu masuk utama antarabangsa Israel.
Kumpulan itu menyatakan mereka akan berusaha mengenakan sekatan udara menyeluruh ke atas musuh Israel dengan menyasarkan lapangan terbang berulang kali, terutama lapangan terbang Ben Gurion.
Peluru berpandu itu mengakibatkan pembentukan kawah besar berhampiran kawasan tempat letak kereta lapangan terbang, mencederakan enam orang serta menyebabkan beberapa syarikat penerbangan menggantung penerbangan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin berikrar akan bertindak balas keras terhadap Houthi serta penyokong utamanya, Iran, berhubung serangan ke atas lapangan terbang itu.
Dalam satu video yang disiarkan di Telegram, Netanyahu berkata, Israel bertindak terhadap Houthi sebelum ini dan akan terus bertindak pada masa depan.”
“Ia tidak akan berlaku dalam satu letupan, tetapi akan berlaku banyak letupan,” katanya lagi.
Iran semalam menafikan pembabitan dalam serangan itu, menyifatkannya sebagai ‘keputusan bebas’ oleh pemberontak Yaman sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin.
Bagi membalas ancaman Netanyahu, republik Islam itu memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang serangan ke atas wilayahnya.
“Iran menegaskan pendiriannya… untuk mempertahankan diri,” menurut kenyataan Kementerian Luar Iran sambil memberi amaran kepada Israel dan AS berhubung ‘akibat’ yang bakal dihadapi. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001