KUALA LUMPUR – AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) Pengurus ARREIT, telah memulakan perjalanan transformasi strategik yang bertujuan membina asas lebih kukuh untuk pertumbuhan mampan.
Transformasi itu dipandu lima inisiatif utama yang tertumpu pada peningkatan Tadbir Urus, Pertumbuhan Perniagaan Mampan, Insan, Sistem dan Pengurusan Kewangan.
Walaupun usaha itu sudah membentuk semula organisasi secara positif, fasa peralihan interim telah memberi kesan ke atas prestasi kewangan ARREIT untuk TK2024 — satu langkah yang perlu dalam menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan.
ARREIT menjelaskan perbezaan antara keputusan kewangannya yang belum diaudit dan diaudit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, sebagai sebahagian daripada proses pemuktamadkan audit standard.
Ia mencerminkan penekanan berterusan AmanahRaya REIT terhadap tadbir urus kewangan yang kukuh, ketepatan dalam pelaporan dan penjajaran dengan amalan terbaik kawal selia.
ARREIT menjelaskan, perbezaan lebih daripada 10 peratus antara angka keuntungan selepas cukai yang belum diaudit dan teraudit timbul disebabkan sebahagian daripada proses pemuktamadan audit.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, ARREIT melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.80 juta dalam penyata kewangan teraudit, berbanding RM4.98 juta dalam keputusan belum diaudit yang diumumkan pada 28 Februari lalu.
“Perbezaan sebanyak RM3.18 juta timbul daripada pelarasan teknikal yang dikenal pasti dan digunakan semasa pemuktamadan Laporan Kewangan, selaras dengan Piawaian Kewangan Malaysia,” kata Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd., Mohd Iskandar Dzulkarnain.
Beliau berkata, pelarasan utama berkaitan dengan layanan pengaturan pajakan di bawah MFRS 16 – Pajakan, termasuk penambahbaikan dalam cara tempoh tanpa sewa yang diberikan kepada penyewa diambil kira dari segi pengiktirafan pendapatan pajakan dan pelunasan yang sepadan bagi aset hak guna.
Selain itu, proses audit mengesahkan keperluan untuk mengiktiraf invois vendor tertentu yang berkaitan dengan kerja-kerja peningkatan hartanah, yang sebelum ini dalam semakan.
Ini telah dimasukkan ke dalam akaun yang telah diaudit mengikut garis panduan perakaunan standard.
Penambahbaikan ini mencerminkan perjalanan semula jadi pemuktamadan audit dan menunjukkan pendekatan disiplin ARREIT untuk mengekalkan ketepatan, ketelusan dan pematuhan.
“Kami kekal fokus untuk meningkatkan prestasi aset dan memacu produktiviti operasi merentasi portfolio kami.
“Komitmen kami adalah untuk terus meningkatkan penciptaan nilai bagi pemegang unit kami melalui pengurusan aset yang proaktif, inisiatif mampan dan kecemerlangan operasi,” tambahnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001