KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menamakan sebuah masjid yang akan dibina di Rumah Belia MADANI di Mukim Batu, Kuala Lumpur dengan nama Masjid Salahuddin Al-Ayubi.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya telah menyatakan nama itu sebagai kenangan beliau kepada sahabatnya iaitu Allahyarham Salahuddin Ayub yang telah meninggal dunia pada 23 Julai 2023.
“Walaupun hampir dua tahun Allahyarham Salahuddin Ayub pergi meninggalkan kita semua, jasa dan legasi yang beliau tinggalkan tidak pernah padam. Sumbangan beliau dalam menurunkan kos sara hidup rakyat termasuk inisiatif di bawah Payung Rahmah akan dikenang sampai bila-bila.
“Perjuangan Allahyarham Salahuddin Ayub ini menunjukkan perjuangan Islam yang dibawa dengan konsep Rahmah dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira kaum dan agama.
“Agenda ‘mengenyangkan perut rakyat’ sebahagian daripada ajaran Islam tanpa perlu melaungkan slogan retorik memperjuangkan Islam, namun membawa Islam dengan jalur yang keras,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Faiz, oleh kerana itu, perlunya menghayati perjuangan Allahyarham Salahuddin Ayub dalam memastikan setiap jasa dan sumbangannya dapat diteruskan.
Katanya, walaupun beliau telah pergi, namun namanya tidak lekang di bibir rakyat.
Justeru, ujar beliau, AMANAH mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas cadangan itu sebagai kenangan kepada Allahyarham Salahuddin Ayub.
“Semoga masjid yang dibina dan siap nanti dapat diimarahkan serta menjadi tempat untuk menyuburkan agenda kasih sayang dan “Rahmah” kepada masyarakat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001