GEORGE TOWN – Keadaan anggota polis yang tercedera akibat tertembak diri sendiri di bahagian kepala dalam kejadian di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini petang semalam, masih kritikal.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Koperal berusia 58 tahun itu sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
Beliau berkata, polis juga sedang menunggu kehadiran waris anggota berkenaan yang datang dari Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Ketika dihubungi Bernama hari ini beliau berkata, siasatan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk dakwaan berkaitan hutang yang ditanggung anggota tersebut.
Semalam anggota polis yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu ditemukan cedera parah di bahagian kepala dalam bilik pengawal IPK Pulau Pinang pada jam 6.12 petang, dipercayai akibat tertembak diri sendiri.
Siasatan ditempat kejadian mendapati satu das tembakan dilepaskan dari senjata yang digunakan anggota itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001