PM Anwar ucap tahniah kepada Presiden Syria atas pembentukan kerajaan baharu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Syria Ahmed al-Sharaa atas pembentukan kerajaan Syria yang baharu.

Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Anwar berkata, Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang ekonomi, dan bersedia menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur serta menyumbang kepada usaha pembinaan semula Syria.

“Presiden al-Sharaa juga telah menjemput saya untuk melawat Syria sebagai usaha mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, Syria secara rasmi mengumumkan barisan Kabinet baharu dengan Presiden Ahmed al-Sharaa menegaskan komitmen kerajaan untuk membangunkan semula institusi negara berlandaskan kebertanggungjawapan dan ketelusan, lapor Anadolu Ajansi.

Sebelum ini kerajaan sementara yang diketuai Perdana Menteri Mohammed al-Bashir telah dilantik untuk tempoh tiga bulan selepas rejim Bashar al-Assad digulingkan oleh pasukan anti-rejim yang dipimpin oleh al-Sharaa pada Disember lepas.

Al-Sharaa kemudiannya diumumkan sebagai Presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari.

Assad yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada 8 Dis, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang telah berkuasa sejak 1963. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *