Polis sah ada kerja korek tanah dekat lokasi kebakaran paip gas

SUBANG JAYA – Polis mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah berhampiran lokasi kebakaran paip gas di Putra Heights pada 30 Mac, dua hari sebelum kejadian itu berlaku.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pihaknya belum dapat menentukan sama ada kebakaran paip gas itu berpunca daripada kerja pengorekan tanah tersebut kerana perlu menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, kerja-kerja mengorek tanah untuk penggantian paip kumbahan itu bermula pertengahan Mac dan berhenti pada 30 Mac, dua hari sebelum kebakaran paip gas itu berlaku.

“Polis juga sudah mengenalpasti kontraktor dan subkontraktor yang menggunakan jentera jengkaut untuk kerja-kerja penggantian paip kumbahan, kira-kira 30 meter dari lokasi letupan.

“Beberapa jentera seperti jengkaut turut terbenam dalam lubang tersebut,” katanya dalam satu sidang media.

Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan termasuk seorang pengawal keselamatan yang berada kira-kira 30m dari lokasi kebakaran dan turut cedera.

Kebakaran yang tercetus pada pagi 1 April lalu telah memusnahkan satu seksyen sepanjang 500 meter saluran paip gas, mengakibatkan 111 orang cedera, kebanyakannya mengalami melecur dan masalah pernafasan.

Kejadian itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 lagi.

Ia juga menyebabkan kawah sedalam 10m, selain merosakkan rumah serta harta benda dalam radius 500m dari lokasi kebakaran.

Beberapa hari lalu, Hussein berkata polis sedang menyiasat dakwaan bahawa kerja tanah yang dijalankan di atas tanah rizab Petronas mungkin telah merosakkan saluran paip gas, sekali gus menyebabkan kebakaran tersebut.

Seorang pemimpin Pemuda Umno juga mendakwa bahawa penduduk di kawasan sekitar telah menyuarakan kebimbangan berhubung kerja-kerja yang dijalankan di lokasi itu sejak Disember lalu.

“Buat masa ini, kami masih menjalankan siasatan. Kami juga sedang meneliti video-video yang dimuat naik di media sosial bagi mendapatkan lebih banyak maklumat,” kata Hussein, sambil menambah polis juga siasat kemungkinan ada unsur sabotaj dan kecuaian.

Beliau berkata punca kejadian belum dapat dikenal pasti kerana kawasan letupan masih belum stabil.

Katanya, kira-kira dua minggu diperlukan untuk menstabilkan keadaan tanah sebelum pihak berkuasa dapat menyiasat punca letupan.

Siasatan berhubung punca letupan dijadualkan bermula pada 15 April, katanya.

Hussein berkata, sistem pemantauan Petronas juga tidak mengesan sebarang kebocoran gas sebelum letupan berlaku. Katanya, sensor pada paip itu akan dapat mengesan sebarang penurunan tekanan.

Saluran paip gas berusia 30 tahun itu bermula dari Kerteh, Terengganu dan menjangkau hingga Perlis.

“Kalau pun berlaku kebocoran gas, letupan hanya akan berlaku sekiranya ada sumber pencetus api. Kita perlu tentukan sama ada memang berlaku kebocoran dan apa yang mungkin menjadi pencetusnya,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Presiden merangkap CEO Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz, akan mengetuai usaha penyelarasan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Kenyataan itu menyebut langkah ini diambil bagi memastikan segala usaha bantuan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan dan teratur.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *