Akmal sokong tindakan terhadap penyampai Era, persoal siasatan Harith, Cecelia

Akmal sokong tindakan terhadap penyampai Era, persoal siasatan Harith, Cecelia

05/03/2025:

PETALING JAYA – Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa polis memberikan perkembangan terkini mengenai siasatan terhadap pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap yang didakwa tidak menghormati Islam.

Sambil menyokong tindakan tegas terhadap penyampai radio Era FM susulan insiden rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu, Akmal berkata undang-undang harus digunakan secara adil kepada semua.

“Saya juga nak tanya pada pihak berkuasa, jika tiga DJ ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka, apa perkembangan bagi kes Yap dan Harith yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad dan Islam?” katanya di Facebook.

“Undang-undang terpakai untuk semua, bukan terpilih mengikut sokongan orang berpengaruh.”

Dalam hantaran Facebook, Harith secara berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ apabila beliau mempertimbangkan untuk menikmati ‘Ham Sap Kopi’.

Harith membuat jenaka itu di tengah-tengah kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk tersebut dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Yap, sebagai respons kepada hantaran itu, didakwa menulis komen yang dianggap sebagai menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Akmal berkata, tiada sesiapa pun yang boleh terkecuali dalam tindakan itu kerana membuat kenyataan tidak sensitif tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan.

“Kita tidak boleh menerima norma buat dahulu baru minta maaf dan selesai,” katanya.

Penyampai radio terbabit dikritik susulan video yang meniru tarian kavadi, iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Klip itu turut memaparkan seorang penyampai melakukan tarian sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani kemudian memohon maaf atas video tersebut dan mengakui mereka tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.

Astro Audio menggantung penyampai radio terbabit bersama dua lagi kakitangan. Syarikat itu berkata CEO dan pengurusan kanannya sudah bertemu pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara berkenaan.

Mereka turut disiasat Bukit Aman mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *