Kenyataan Guan Eng tak praktikal, Bumiputera wajib terus dibantu

Kenyataan Guan Eng tak praktikal, Bumiputera wajib terus dibantu

Kenyataan Guan Eng tak praktikal, Bumiputera wajib terus dibantu

04/03/2025:

SEORANG Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan kenyataan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang meminta peruntukan kerajaan kepada bukan Bumiputera dinaikkan tahun depan, tidak praktikal.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata ini kerana jika melihat angka sebenar, realitinya Bumiputera masih ketinggalan dan perlukan sokongan.

Katanya, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM, 2022), pendapatan isi rumah purata bulanan mengikut kaum adalah Bumiputera RM5,420, Cina: RM8,477 dan India RM7,150.

Beliau berkata ia jelas menunjukkan pendapatan purata Bumiputera masih jauh lebih rendah, berbeza dengan kaum Cina lebih RM3,000 sebulan, iaitu lebih RM36,000 setahum.

“Itu belum lagi bincang bab senarai 10 orang terkaya di Malaysia, yang membuktikan ‘bukan Bumiputera dipinggir?’

“Selain itu laporan terkini menunjukkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanya 21% (2023), berbanding bukan Bumiputera (29.5%) dan pelabur asing.

“Walhal, Bumiputera adalah 69.9% daripada populasi negara. Kalau ada pihak yang mendakwa Bumiputera sudah cukup kuat dalam ekonomi, angka ini jelas membuktikan sebaliknya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Guan Eng dilapor mencadangkan kerajaan memperuntukkan 10 peratus daripada jumlah peruntukan kepada Bumiputera dalam belanjawan, diberikan kepada bukan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata mengikut data kemiskinan mutlak DOSM (2022), Bumiputera adalah 7.9%, Cina: 1.9% dan India: 5.4%.

“Maknanya, dalam 100 orang Bumiputera, hampir lapan orang masih dalam kemiskinan mutlak. Jauh lebih ramai berbanding bukan Bumiputera.

“Bila bantuan kepada Bumiputera dipertikaikan, ini bermakna mereka mahu biarkan golongan majoriti miskin ini terus terpinggir?,” soalnya.

Pada masa sama beliau berkata tiada siapa menafikan bukan Bumiputera miskin juga wujud dan mereka juga wajib dibantu.

Sebab itu, katanya, program seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Bantuan Sara Hidup diberikan mengikut pendapatan, bukan kaum.

“Maka, kalau ada yang guna hujah ‘bantuan hanya untuk Bumiputera’, itu hanyalah manipulasi fakta.

“Yang betulnya, Bumiputera perlu diberi sokongan tambahan kerana jurang yang masih wujud, tapi dalam masa sama, bukan Bumiputera miskin tetap ada hak untuk dibantu,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan Ahli Parlimen pembangkang tidak dapat peruntukan, tetapi Pulau Pinang menerima RM14 bilion untuk LRT?

“Satu lagi perkara yang pelik ialah peruntukan pembangunan sangat berat sebelah. Ahli-ahli Parlimen pembangkang, yang rata-rata mewakili kawasan Malay Belt seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak diberi peruntukan kawasan.

“Ini kawasan majoriti Bumiputera, dan mereka sepatutnya mendapat hak yang sama sebagai wakil rakyat.

“Tapi dalam masa sama, Pulau Pinang diberi projek LRT bernilai RM14 bilion. Negeri itu sememangnya dikuasai DAP, parti yang sering mempertikai keistimewaan Bumiputera.

“Kenapa bila bercakap tentang keadilan ekonomi, mereka senyap bila negeri mereka mendapat peruntukan mega, tetapi bising bila Bumiputera mendapat bantuan yang jauh lebih kecil?

“Ini jelas double standard. Kalau benar mahu keadilan, sepatutnya semua kawasan dapat manfaat, bukan hanya negeri yang sehaluan dengan kerajaan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *