25/02/2025:
TANAH MERAH – Solat hajat sebagai usaha dipermudahkan urusan pencarian kanak-kanak lelaki yang hilang, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi yang berusia 19 bulan di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, terus dibuat sehingga saat ini.
Menurut ibu saudaranya, Azean Suhaily Ramley, 39, sejak kehilangan Hud malam tadi, solat hajat terus dibuat sama ada di rumah atau masjid di kampung berkenaan.
“Tak henti-henti solat hajat dibuat dan kami tetap berdoa supaya Hud ditemui walau apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azean Suhaily berkata, kehilangan Hud Aryan sangat memberi kesan kepada ibunya, Azean Nur Atikah, 34, kerana anak saudaranya itu adalah anak tunggal.
Katanya, sehingga kini adiknya masih lagi tidak keruan dan banyak menangis memikirkan nasib Hud Aryan yang hilang tanpa jejak.
“Atikah berkahwin sejak 2017 dan dua tahun lalu baru berpeluang menimang cahaya mata, belum puas bermanja, ini pula yang terjadi.
“Kami tidak putus harapan dan masih berdoa sambil berharap ada keajaiban. Tapi dalam masa yang sama redha dengan ujian ini,” katanya lapor Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi hilang apabila disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam tadi oleh ahli keluarganya.
Sebelum kejadian, Hud berada dalam rumah dan diberi makan oleh ibunya sebelum wanita itu masuk ke dapur sebaik selesai menyuap nasi kepada anak tunggalnya itu.
Kebetulan juga seorang saudara datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan di mana Hud, selepas itu barulah ahli keluarga menyedari kanak-kanak itu hilang.
Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan walaupun cuaca di lokasi hujan dan pencarian juga dibantu khidmat dua anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001