AS dan Russia berunding tamat perang di Ukraine di Arab Saudi

AS dan Russia berunding tamat perang di Ukraine di Arab Saudi

16/02/2025:

MUNICH/WASHINGTON – Pegawai dari Amerika Syarikat (AS) dan Russia akan bertemu di Arab Saudi dalam beberapa hari akan datang untuk memulakan rundingan bagi menamatkan perang hampir tiga tahun di Ukraine.

Laporan itu memetik sumber seorang ahli parlimen AS dan satu sumber lain yang mengetahui perancangan itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang bertemu dengan Naib Presiden AS, JD Vance di Jerman pada Jumaat, berkata Ukraine tidak dijemput ke rundingan di Arab Saudi dan Kyiv tidak akan berunding dengan Russia sebelum berunding dengan rakan strategik mereka.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, Penasihat Keselamatan Negara AS, Mike Waltz dan utusan Rumah Putih untuk Asia Barat, Steve Witkoff, akan pergi ke Arab Saudi, kata Wakil AS, Michael McCaul kepada Reuters.

Tidak jelas siapa yang akan mewakili Russia dalam rundingan itu.

Di luar persidangan Munich Security, McCaul berkata tujuan rundingan itu adalah untuk mengatur pertemuan antara Presiden AS Donald Trump, Presiden Russia Vladimir Putin, dan Zelensky. “(Pertemuan) itu bagi membawa keamanan dan mengakhiri konflik ini.” ,” katanya

Satu sumber yang mengetahui perancangan itu mengesahkan rundingan yang dirancang antara pegawai AS dan Russia di Arab Saudi.

Namun, Jabatan Negara AS tidak memberikan maklum balas berhubung perkara ketika diminta mengulas mengenainya.

Trump, yang mengambil alih jawatan pada 20 Januari, berulang kali berjanji untuk menamatkan perang Ukraine dengan cepat. Beliau membuat panggilan telefon berasingan kepada Putin dan Zelensky pada hari Rabu lalu, menyebabkan sekutu Eropah bimbang bahawa mereka akan diketepikan dalam proses perdamaian.

Kebimbangan itu berasas selepas Trump menyatakan Eropah tidak akan mempunyai tempat di meja rundingan, selepas Washington menghantar soal selidik kepada ibu negara Eropah untuk menanyakan apa yang boleh mereka sumbangkan kepada jaminan keselamatan untuk Kyiv.

Semalam, Rubio berbincang dengan rakan sejawatnya dari Russia, Sergei Lavrov.

Menurut Kementerian Luar Russia, kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan hubungan tetap bagi mempersiapkan pertemuan antara Putin dan Trump.

Sementara itu, Zelensky berkata beliau akan mengunjungi Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Turki, tetapi tidak menyatakan tarikh untuk berangkat ke sana.

Namun, pemimpin Ukraine itu menyatakan beliau tidak merancang untuk bertemu dengan pegawai AS atau Russia ketika lawatan itu.

Moscow menguasai satu perlima dari Ukraine dan kini bergerak perlahan ke timur sementara tentera Kyiv yang lebih kecil bergelut dengan kekurangan tenaga manusia dan cuba untuk mempertahankan sebahagian wilayah di Russia barat.

Russia menuntut Ukraine menyerahkan wilayah mereka dan menjadi neutral secara kekal di bawah sebarang perjanjian damai. Ukraine menuntut Russia menarik diri dari tanah yang dirampas dan mahu keahlian NATO atau jaminan keselamatan setara bagi mengelakkan serangan oleh Moscow.

Amerika Syarikat dan Eropah memberikan bantuan ketenteraan berjumlah puluhan bilion dolar kepada Ukraine sejak perang bermula.

Trump menyatakan sokongannya kepada Ukraine tetapi sedang mencari jaminan keselamatan untuk pembiayaan AS kepada Kyiv.

AS dan Ukraine kini sedang berunding perjanjian yang boleh kekayaan alam semula jadi Ukraine membawa pelaburan AS.

Tiga sumber menyatakan AS mencadangkan untuk mengambil alih 50 peratus daripada mineral kritikal Ukraine.

Zelensky berkata draf perjanjian itu tidak mengandungi peruntukan keselamatan yang diperlukan oleh Kyiv. – Reuters

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *