KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyokong cadangan MBI dalam isu penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Sokongan itu bukan sekadar menghormati sensitiviti orang Islam, malah turut membantu menangani gejala gelala sosial yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan minuman keras.
Pada masa sama, Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris mengecam kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahukan PBT mengekalkan status quo dalam isu penjualan arak.
“Sepatutnya sebagai menteri, Kor Ming seharusnya menghormati sensitiviti umat Islam dengan menjual arak di kawasan bukan majoriti orang Melayu dan Islam.
“Sebagai menghormati masyarakat bukan Islam, arak boleh dijual, tetapi mengikut kepada keperluan mereka di satu tempat, bukan secara terbuka di tempat majoriti orang Melayu dan Islam.
“Kita mengingatkan Kor Ming bahawa punca kepada semakin lebarnya jurang perpaduan dalam negara ialah kenyataan ataupun tindakan pemimpin DAP yang kerap kali masuk campur dalam urusan agama Islam dalam menghalalkan misi negara sekular dan slogan Malaysian Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan, jika kerajaan berhasrat untuk membawa aspirasi negara sebenar, pemimpin DAP harus belajar menghormati sensitiviti umat Islam dengan tidak campur tangan dalam urusan agama Islam.
“Sebab kami orang Melayu Islam pun tidak pernah pertikaikan apa jua urusan agama kamu sebagai menghormati masyarakat bukan Islam di negara ini,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001