LONDON – Pengurus Everton, Sean Dyche menegaskan beliau mempunyai perkara lebih penting untuk dibimbangkan berbanding sindiran Neal Maupay terhadap kelab itu di media sosial.
Maupay, yang kali terakhir beraksi untuk kelab Liverpool itu ketika menang aksi Piala Liga ke atas Doncaster pada Ogos 2023, bergelut di Goodison Park dan kini kembali ke negara asalnya Perancis secara pinjaman semusim di Marseille ketika dia menghabiskan beberapa bulan terakhir kontraknya.
Sekalipun secara teknikal dia masih pemain Everton, penyerang berusia 28 tahun itu menulis dalam laman X susulan kekalahan The Toffees di tangan Nottingham Forest dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu: “Apabila saya berdepan satu hari buruk, saya hanya memeriksa keputusan Everton dan senyum.”
Bagaimanapun Dyche, yang bercakap menjelang aksi Everton di gelanggang lawan bertemu Bournemouth malam esok, menempelak kenyataan Maupay dengan berkata: “Saya fikir adalah adil untuk menyatakan ada perkara lebih besar yang perlu saya fokuskan buat Everton dan saya tidak fikir perlu terlalu bimbang mengenai komennya.”
Ditanya jika akan ada tindakan disiplin, beliau menambah: “Saya tidak fikir kami bimbang mengenainya.”
Apa yang lebih membimbangkan Dyche adalah Everton, yang beraksi di liga utama Inggeris sejak tahun 1954, kini hanya dua mata di atas zon penyingkiran.
Namun pengurus Inggeris berpengalaman itu tidak menjangkakan sebarang perbelanjaan pada jendela perpindahan Januari sekalipun Everton baru-baru ini diambil alih oleh Friedkin Group yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Everton mesti kekal di bawah peraturan keuntungan dan kemampanan EPL, selepas ditolak lapan mata secara keseluruhan kerana melanggar peraturan itu musim lalu.
Ia menyebabkan pengendali berusia 53 tahun itu, yang mana kontraknya tamat pada hujung musim, terpaksa menangani kelompok pemain sama ketika Everton dilihat akan mengekalkan Dominic Calvert-Lewin susulan laporan penyerang itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Serie A, Atalanta.
“Tiada sebarang kelab menghubungi. Sudah tentu ada khabar angin, ia hakikat yang tidak boleh dielakkan,” kata Dyche.
“Saya fikir kami akan memikirkan mengenainya (masa depan Calvert-Lewin) jika ia berlaku tetapi tiada sesiapa menghubungi, tiada rundingan diperlukan.” – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001