Oleh: Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin
DALAM persekitaran kerja, ‘penjilat’ adalah individu yang sering mencuri perhatian pihak atasan sama ada menghamburkan perkataan pujian atau bakal menerima nasib kurang enak dari rakan sekerja.
Namun, bagi konteks Islam, tindakan menjilat atau mengampu ini perlu dilihat dengan lebih mendalam, kerana ia membabitkan aspek etika, kejujuran dan keadilan. Sememangnya Islam memberi penekanan kepada kepentingan akhlak yang mulia dan keadilan dalam semua aspek kehidupan, termasuk di tempat kerja.
Islam menggalakkan umatnya untuk saling memberi penghargaan dan pujian yang ikhlas. Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah.” (HR. Tirmidzi). Pujian yang tulus dan ikhlas dapat meningkatkan semangat dan moral pekerja lain, sekali gus menciptakan suasana kerja yang harmoni dan produktif.
Dalam Islam, membangun hubungan yang baik adalah penting. Mengampu dengan niat yang baik dan cara yang betul dapat membantu membina hubungan yang harmonis antara pekerja dan pihak atasan. Hubungan yang baik ini selaras dengan konsep ukhuwah Islamiah (persaudaraan dalam Islam), yang menekankan kepentingan persaudaraan dan tolong-menolong.
Penghargaan dan pujian yang diberikan dengan ikhlas boleh menjadi dorongan kepada individu untuk terus memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi kerja. Dalam Islam, setiap usaha dan kerja keras adalah bentuk ibadah dan setiap orang harus berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diamanahkan kepada mereka.
Islam menegaskan keadilan dalam semua perkara. Pengampu yang tidak ikhlas dan bertujuan mendapatkan keuntungan peribadi boleh menyebabkan ketidakadilan. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan.” (Surah An-Nahl: 90).
Memberi keutamaan kepada pengampu berbanding pekerja yang benar-benar berprestasi adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam.
Pengampu yang tidak ikhlas boleh merosakkan moral pasukan. Dalam Islam, akhlak yang baik adalah asas kepada masyarakat yang sejahtera. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR. Ahmad). Apabila budaya mengampu yang tidak jujur berleluasa, ia boleh merosakkan akhlak dan semangat kerja pekerja lain.
Pengampu yang berjaya mempengaruhi pihak atasan mungkin membuat keputusan yang tidak berasaskan kebenaran dan keadilan. Islam mengajar kita untuk sentiasa berkata benar dan membuat keputusan yang adil.
Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.” (Surah An-Nisa’: 135).
Dalam konteks Islam, pengampu boleh memberikan kesan positif jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan cara yang betul.
Pujian yang tulus boleh meningkatkan moral dan suasana kerja, selaras dengan ajaran Islam tentang kejujuran dan keikhlasan. Namun, kesan negatif pengampu yang tidak jujur dan hanya mengejar keuntungan peribadi tidak boleh diabaikan.
Pihak pengurusan perlu memastikan bahawa setiap pekerja dinilai berdasarkan merit dan keadilan, selaras dengan prinsip-prinsip Islam. Dengan cara ini, organisasi boleh mengekalkan persekitaran kerja yang adil, produktif dan bermoral tinggi.

Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001