Ipswich kejutkan Chelsea di Portman Road

Ipswich kejutkan Chelsea di Portman Road

IPSWICH – Liam Delap dan Omari Hutchinson menjaringkan gol di setiap babak untuk menamatkan penantian 23 tahun Ipswich Town dalam memenangi aksi Liga Perdana Inggeris di Portman Road dengan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea.

Sejak kemenangan 1-0 ke atas Middlesbroug pada April 2002, Ipswich tidak pernah meraikan kejayaan di laman sendiri dalam saingan liga tertinggi Inggeris.

Kemenangan itu melonjak mereka ke tangga ke-18 liga dan menjejaskan kedudukan Chelsea dalam persaingan merebut kejuaraan musim ini.

Penalti minit ke-12 Delap dan penyudah sempurna Hutchinson pada minit ke-53 memberikan penamat terbaik buat Ipswich yang kembali ke Liga Perdana Inggeris musim ini.

Chelsea pula kini hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir dan berada di tangga keempat, 10 mata di belakang pendahulu, Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan.

Harapan buat penyokong tuan rumah memuncak apabila diberikan sepakan penalti selepas Delap dikasari penjaga gol Chelsea, Filip Jorgensen.

Ia adalah penalti pertama Ipswich dalam saingan liga musim ini dan Delap menyempurnakan untuk menceriakan penyokong di Portman Road.

Jorgensen menebus kesilapannya dengan menyelamatkan percubaan Delap selepas itu dan Chelsea mula menguasai permainan tetapi gagal menjaringkan gol.

Joao Felix membolosi gawang Ipswich pada minit ke-24 tetapi jaringannya dibatalkan selepas didapati ofsaid oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Dua kali percubaan Cole Palmer sekadar menggegar gawang Ipswich. Penjaga gol tuan rumah, Christian Walton turut menafikan percubaan Palmer di akhir babak pertama.

Hutchinson, yang berpindah dari Chelsea ke Ipswich sebelum musim bermula, meledak gol kedua hasil kesilapan Axel Disasi.

“Ia bagus untuk melakar sejarah dan akhirnya meraih kemenangan pertama di laman sendiri,” kata Hutchinson.

Ipswich beberapa kali terlepas peluang mencatat kemenangan di Portman Road musim ini, dan tidak hairanlah kemenangan ke atas Chelsea diraikan seperti memenangi liga.

“Kami bekerja keras musim ini tetapi tidak menjadi. Kami berhak menang dengan persembahan hari ini yang membuktikan kami cemerlang dan boleh bertahan dengan baik, menyerang dengan baik,” kata Delap. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *