GAZA – Israel menahan lebih 240 warga Palestin, termasuk puluhan petugas perubatan, selepas serbuan di Hospital Kamal Adwan, utara Gaza, pada Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan dan tentera Israel.
Turut ditahan pengarah hospital, Dr Hussam Abu Safiya.
Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan Dr Abu Safiya.
Beberapa kakitangan yang dibebaskan mendakwa beliau dipukul oleh tentera Israel.
Tentera Israel pula mendakwa hospital itu digunakan sebagai pusat operasi Hamas dan Dr Abu Safiya disoal siasat kerana disyaki terlibat dengan kumpulan itu.
Hamas menafikan tuduhan Israel bahawa pejuangnya beroperasi dari hospital tersebut sepanjang perang Gaza selama 15 bulan.
Bagaimanapun, Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penahanan 240 individu itu.
Pada Sabtu, Hamas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa campur tangan segera untuk melindungi hospital dan kemudahan perubatan di utara Gaza serta membekalkan bantuan yang diperlukan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mereka juga menyeru pemerhati PBB ditempatkan di fasiliti perubatan untuk menolak tuduhan Israel.
Serbuan itu menyebabkan Hospital Kamal Adwan, antara tiga hospital utama di kawasan itu, tidak lagi berfungsi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini bimbang terhadap risiko nyawa 75,000 penduduk Palestin akibat pemusnahan sistem kesihatan dan pengepungan selama lebih 80 hari.
Sebahagian pesakit telah dipindahkan ke Hospital Indonesia, yang juga tidak beroperasi, manakala kakitangan perubatan dihalang bertugas.
Pesakit dan kakitangan lain pula dipindahkan ke fasiliti perubatan lain, menurut Kementerian Kesihatan.
Angka korban penduduk Palestin hampir cecah 45,000 orang

Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 45,484 orang, dengan 108,090 yang lain cedera.
Perkara itu didedahkan menerusi kenyataan pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza.
Peningkatan jumlah korban ini berlaku selepas 48 rakyat Palestin lagi terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara Israel.
Menurut sumber Palestin, sekurang-kurangnya sembilan rakyat terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian Maghazi di tengah Semenanjung Gaza pada Sabtu.
Sumber tempatan dan saksi mengatakan bahawa sebuah pesawat Israel mengebom sebuah rumah di pinggir kem Maghazi dengan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, dalam satu kenyataan pada hari Sabtu mengatakan bahawa pasukan Israel mula beroperasi pada waktu malam terhadap “sasaran pengganas di kawasan Beit Hanoun” berdasarkan maklumat risikan awal mengenai kehadiran sejumlah pengganas dan kemudahan pengganas di kawasan itu.
Sebelum pasukan memasuki kawasan tersebut, jet pejuang Israel, dengan kerjasama tembakan artileri, menyerang “beberapa kawasan yang didakwa sasaran pengganas” di kawasan itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
