Arsenal pinjam bintang PSG ganti Saka

Arsenal pinjam bintang PSG ganti Saka

LONDON – Arsenal dilapor menerima tawaran untuk mengikat penyerang Paris Saint-Germain (PSG) secara pinjaman sebagai pengganti Bukayo Saka.

Hanya 24 minit aksi The Gunners dengan Crystal Palace pada Sabtu lalu, Saka terpaksa digantikan dan kemudian meninggalkan Selhurst Park dengan menggunakan tongkat.

Mikel Arteta kemudian mengesahkan Saka akan berehat buat “beberapa minggu” kerana kecederaan hamstring dengan bintang England itu dibimbangi terpaksa diketepikan hingga awal Mac depan.

Berita itu jelas satu tamparan besar buat Arsenal untuk merebut kejuaraan, dengan kelab itu sudah menyaksikan kapten Martin Odegaard terlepas beberapa perlawanan kerana cedera pada awal kempen.

Dengan Saka dijangka diketepikan dalam tempoh yang agak lama, spekulasi memuncak sama ada Arteta akan cuba memperkukuhkan pilihannya apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan.

Menurut laporan The Standard, Arsenal satu daripada beberapa kelab yang ditawarkan peluang untuk mengikat penyerang PSG, Randal Kolo Muani secara pinjaman hingga hujung musim ini.

Kolo Muani dilihat sebagai pembelian besar apabila PSG membayar £64 juta (RM360 juta) tidak termasuk tambahan lain untuk mengikatnya dari Eintracht Frankfurt pada musim panas 2023.

Bagaimanapun, penyerang antarabangsa Perancis itu mengharungi musim sulung mengecewakan di Parc des Princes, menyumbat hanya sembilan gol dalam 40 perlawanan bagi semua pertandingan.

Musim ini, nilai Kolo Muani makin merudum, dengan bos PSG, Luis Enrique mengehadkan pemain berusia 26 tahun itu kepada hanya dua permulaan dalam liga setakat ini.

Kolo Muani mempunyai baki tiga setengah tahun dalam kontraknya bersama Les Parisiens, dengan gajinya dilaporkan bernilai £200,000 (RM1.12 juta) seminggu. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *