PARIS – Rasmus Hojlund memacu kemenangan 2-1 Manchester United di Viktoria Plzen dalam Liga Europa awal pagi tadi, manakala Tottenham dipaksa seri di Rangers.
United kendalian Ruben Amorim bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi kelab Republik Czech itu susulan dua gol babak kedua oleh penyerang Denmark, Hojlund dan kini mereka menghuni tangga ketujuh pada peringkat liga kumpulan.
“Kemenangan ini penting buat ketika ini dan ia satu persiapan baik bagi perlawanan seterusnya,” kata pengurus United, Amorim kepada TNT Sports.
Penamat lapan terbaik akan menyaksikan United layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir, manakala berakhir di tangga kesembilan hingga ke-24 membolehkan mereka beraksi play-off untuk layak ke peringkat itu.
Matej Vydra membuka tirai jaringan tiga minit selepas rehat untuk mengejutkan United, sebelum pemain gantian Hojlund meledak dua gol dalam setengah jam terakhir untuk meraih tiga mata penting buat kelab Inggeris itu.
Gol kemenangan hadir dua minit sebelum tamat apabila Bruno Fernandes bijak menghantar sepakan percuma ke kaki pemain berusia 21 tahun itu yang mengatasi seorang pemain pertahanan sebelum merembat masuk.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Europa, Spurs seri 1-1 dengan Rangers di Glasgow.
Tuan rumah berada dalam posisi terakhir layak secara automatik dengan Spurs satu anak tangga di bawah mereka, tetapi kedua-dua pasukan terikat 11 mata.
Keputusan seri itu bagaimanapun meredakan sedikit tekanan dihadapi bos Spurs, Ange Postecoglou selepas pasukannya hadir pada perlawanan itu dengan hanya satu kemenangan dalam tujuh aksi terakhir bagi semua pertandingan.
Rangers mendahului dua minit selepas rehat apabila penyerang Maghribi, Hamza Igamane meneruskan permulaan cemerlangnya di Glasgow dengan menyumbat gol keempat dalam empat penampilan di Eropah musim ini.
Pemain gantian Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski bergabung untuk menyamakan kedudukan buat kelab Inggeris itu dengan berbaki 15 minit, pemain Sweden itu mengelirukan penjaga gol dengan penyudah menarik dari dalam kotak penalti.
Penjaga gol Spurs, Fraser Forster melakukan tindakan penyelamat penting susulan percubaan Cyriel Dessers untuk mempertahankan kedudukan dalam 10 minit terakhir dan beberapa detik kemudian penyerang Rangers itu dibatalkan jaringannya kerana ofsaid.
Lazio menghuni tangga teratas dengan 16 mata – terikat dengan Athletic Bilbao – selepas menewaskan Ajax 3-1 di Amsterdam untuk mengesahkan tempat mereka ke peringkat kalah mati.
Lyon menundukkan Eintracht Frankfurt 3-2 untuk melonjak ke tangga keempat – satu anak tangga di depan kelab Bundesliga itu.
Anderlecht mengalahkan Slavia Prague 2-1 di ibu negara Republik Czech untuk mendaki ke tangga ketiga carta dengan berbaki dua perlawanan. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252