BERITA UTAMA
Lawatan PM kukuh Malaysia-Korea menjelang ulang tahun ke-65 - Duta Besar

Lawatan PM kukuh Malaysia-Korea menjelang ulang tahun ke-65 – Duta Besar

SEOUL – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Korea akan memperkukuh jalinan dua negara menjelang ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Korea.

Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata antara agenda penting dalam lawatan ini adalah mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden Yongsan.

Katanya, kedua-dua pemimpin dijangka akan menegaskan komitmen untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama dalam sektor ekonomi dan jalinan antara rakyat.

“Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-65 jalinan hubungan diplomatik pada tahun 2025.

“Kedua-dua pemimpin dijangka akan menegaskan komitmen kedua-dua buah negara untuk memperkukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama yang lebih komprehensif terutamanya dalam konteks ekonomi, pelaburan, pertahanan, pendidikan, dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini, menjelang ketibaan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia yang dijangka tiba pada 10 malam waktu tempatan.

Tambah Mohd Zamruni, selain acara rasmi dan program menyantuni rakyat Malaysia yang berada di Korea Selatan, Anwar dan delegasi juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri dan masyarakat Islam tempatan.

“Perdana Menteri akan memberikan ucaptama dalam forum perniagaan yang akan diadakan esok (Isnin) petang yang dijangka akan dihadiri oleh delegasi perniagaan yang terdiri daripada lebih 180 syarikat di Republik Korea.

“Selain daripada program rasmi, Perdana Menteri akan turut adakan siri mesyuarat bersama tokoh-tokoh korporat dan ahli perniagaan dari syarikat-syarikat gergasi Korea yang dikenali sebagai Chaebol, untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia.

“Satu sesi juga diadakan untuk Perdana Menteri bertemu dengan pemimpin masyarakat Islam tempatan, yang mana beliau akan bertemu dengan presiden Persekutuan Muslim Korea (KMF), sebuah badan rasmi yang diiktiraf sebagai badan induk untuk mewakili masyarakat Islam di Republik Korea,” jelasnya

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *