SHAH ALAM – Tindakan dua lelaki mencuri kabel pencawang elektrik milik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) membawa padah apabila terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Seksyen 6, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lelaki berumur 49 dan 31 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Shah Alam kerana melecur di bahagian muka, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tindakan suspek bukan sahaja mengakibatkan kecederaan diri, malah turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian daripada pihak TNB berkaitan dua suspek melakukan khianat dengan memotong dan mencuri kabel di pencawang elektrik di Talian 132KV Bukit Jelutong-Shah Alam Utara di Seksyen 6.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek telah menceroboh masuk ke dalam kawasan pencawang elektrik dan cuba memotong kabel sehingga menyebabkan letupan dan kebakaran.
“Turut dijumpai di lokasi ialah peralatan pemotong kabel dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata keadaan suspek stabil dan ditahan di wad untuk rawatan lanjut.
Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berumur 49 tahun mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek kedua turut memiliki 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Beliau berkata, jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM350,000 yang meliputi kos untuk pembaikan dan pemasangan semula kabel.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431a Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nor Sabryna Mohammad Taha menerusi talian 014-5130450 bagi membantu siasatan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252