BERITA UTAMA
ADTEC-USIM Education sepakat bina kejayaan

ADTEC-USIM Education sepakat bina kejayaan

Oleh: Rudysham Abdul Raof

APALAH gunanya ada kemahiran dan kepakaran tinggi jika ia tidak dikongsi bersama dengan pihak yang mahu menjayakan matlamat kerajaan dalam melahirkan generasi berteknologi, itulah kata-kata Pengarah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim, Kedah, TS Norliza Yaakub.

“Tiada istilah dalam diri kami menutup peluang mana-mana pihak mahu berkongsi dengan apa yang kami ada kerana ia akan jejaskan matlamat kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga muda dalam bidang kemahiran tinggi.

“Kita perlu melihat ke depan dan cara paling baik berkongsi dengan mana-mana institusi yang ingin bersama ke arah menjayakan produk kemahiran tinggi kepada anak-anak muda seluruh negara.

“ADTEC  sudah lama diwujudkan dan kami semakin hari ingin kembangkan kepakaran tinggi kepada semua pihak. Jadi dengan adanya kerjasama ini sudah pasti menggembirakan kami teroka pasaran masa depan,” kata Norliza ketika menerima delegasi dari USIM Educational & Skills Development Sdn Bhd (USIM Education) sempena kunjungan hormat di ADTEC, baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai Ketua Pegawai Operasi, Shamsul Kahar Haron disambut begitu meriah dan diberi taklimat mengenai kewujudan ADTEC Kulim sejak empat dekad lalu yang dirasmikan penubuhannya oleh bekas Menteri Kementerian Sumber Manusia, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

USIM Education adalah anak syarikat milik penuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diberi tanggungjawab melatih pelajar yang cenderung ke arah bidang kemahiran dan kerjasama antara ADTEC merupakan jalan terbaik mengenalpasti  bidang yang bakal dipelopori.

Objektif utama penubuhan ADTEC adalah untuk membangunkan tenaga kerja mahir kompetan melalui latihan berteknologi tinggi seiiring dengan wawasan kerajaan menjadi Malaysia sebuah negara yang memiliki ramai pakar.

Selain Kulim, ADTEC juga diwujudkan di Taiping, Perak; Batu Pahat, Johor; Shah Alam, Selangor, Melaka; Kemaman, Terengganu; Jerantut, Pahang dan Bintulu, Sarawak.

Sehingga kini, jelas Norliza, pelajar yang mencari ilmu di ADTEC Kulim sudah melebihi 500 penuntut dan ia semakin bertambah  dari semasa ke semasa kerana kesedaran ibu bapa serta masyarakat baik ke arah pembelajaran dalam sektor kemahiran tinggi.

Sehingga kini, ramai juga pelajar yang cemerlang dalam bidang pendidikan ketika di alam persekolahan memilih pusat pengajian kemahiran tinggi untuk meneruskan pembelajaran selain IPTA sedia ada.

“Kami berbangga kerana penerimaan ibu bapa dan pelajar semakin baik. Bagi mereka bidang kemahiran tinggi adalah alternatif terbaik untuk mereka meneruskan pengajian di peringkat lebih global.

“Sebab itu, saya alu-alukan kerjasama antara ADTEC dan USIM Education. Fokus saya amat jelas, sebarang bentuk usahasama akan membuahkan hasil yang jitu. Mungkin bukan sekarang tetapi akan datang.

“Kita mahu lahirkan tenaga kerja mahir serta pakar dalam bidang masing-masing, Banyak sektor yang kami sediakan seperti Kursus Mekatronik, Elektronik, Teknologi AI (Kecerdasan Buatan) dan yang terbaru kemungkinan Aerospace. Semua ini hasil usaha gigih tenaga pengajar kami yang amat terlatih dan pakar dalam bidang masing-masing.

“Saya sedia membantu USIM Education menjadi sebuah institusi yang dikenali di peringkat kemahiran tinggi. Saya juga boleh membenarkan tenaga pakar kami membantu mencapai sasaran. Insya Allah.

“Jadikanlah mereka sebagai perunding untuk memenuhi aspirasi pihak Usim Education. Tujuannya satu, memenuhi hasrat dan aspirasi kerajaan melatih lebih ramai tenaga kerja mahir berprestasi tinggi,” kata Norliza.

Sementara itu, Shamsul Kahar berkata, pihak USIM Education amat bertuah kerana kehadiran mereka mempelajari ilmu tinggi dari pihak ADTEC mencapai impian pihaknya.

“Saya tidak menyangka banyak ilmu yang dipelajari untuk kami bawa pulang ke Nilai, Negeri Sembilan. Saya akan berbincang secepat mungkin bersama ahli Lembaga Pengarah USIM Education untuk mempercepatkan kerjasama ini.

“Kami akan mengadakan majlis menandatangani Memorandum Persefaham (MOU) antara rakan strategik kami akhir bulan depan. Kami akan mengemukakan surat tunjuk minat kepada ADTEC dalam menjayakan usahasama ini.

“Kesepakatan ini sememangnya bukan sahaja untuk menambah kredit kepada USIM Education, malah saya melihat ia memantapkan usaha kami menjayakan peluang kemahiran dan teknologi tinggi kepada pelajar seluruh negara,” kata Shamsul Kahar. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *