KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah keras usaha DAP untuk mendekati anak muda khususnya mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan DAP dan tujuan penubuhannya sejak dari awal lagi masih bertentangan dengan agenda pembangunan dan melindungi hak orang Melayu serta bumiputera.
Justeru, beliau menyarankan kepimpinan dan pengurusan tertinggi UiTM menghalang doktrinasi DAP di dalam kalangan mahasiswanya.
“Agenda untuk mendekati golongan mahasiswa di UiTM adalah ancaman terhadap minda dan ini dapat dilihat dari sejarah kepimpinan dan tindak tanduk mereka sepanjang tempoh kewujudannya sebagai parti politik di Malaysia.
“Pindaan AUKU bukan lesen untuk kumpulan dari pembawa ideologi negara berbilang kaum dan perjuangan sama rata di doktrinasi kepada mahasiswa UiTM di dalam kampus.
“Sungguhpun AUKU membenarkan mahasiswa berpolitik, di UiTM kerajaan perpaduan boleh mengsyaratkan kepada parti UMNO, Amanah serta parti dari Sabah dan Sarawak sahaja dibenarkan berkongsi perjuangan mereka selaras penubuhan parti serta kepentingan UiTM itu sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mempunyai tanggungjawab besar untuk mendekati golongan anak muda khususnya mahasiswa dari IPTA termasuk UiTM.
Kata beliau, ia bertujuan mempelbagaikan keanggotaan dalam DAPSY, sekali gus sebagai parti pilihan utama anak muda pada masa depan.
“DAPSY mempunyai tanggungjawab untuk mendekati golongan muda khususnya di kampus sama ada UiTM, UM (Universiti Malaya), UPM (Universiti Putra Malaysia), UTM (Universiti Teknologi Malaysia), semua adalah medan kita dan DAPSY,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan berkata, parti dari kumpulan pembangkang mahupun parti kuasa ketiga seperti Putra juga wajar diberi ruang untuk mendekati kumpulan mahasiswa bagi meraikan sistem demokrasi berparlimen yang telah membenarkan wujud parti yang melindungi atau memperjuang hak Melayu dan bumiputera seperti UiTM.
Tegas beliau, UiTM adalah satu-satunya institusi yang tinggal untuk melahirkan golongan Melayu dan bumiputera profesional serta kompeten.
Selain itu, jelasnya lagi, UiTM juga benteng untuk para graduan Melayu mengekalkan semangat kekitaan sebagai bangsa majoriti dan kaum asal kepada bumi Malaysia tanpa menolak kewujudan bangsa lain selaras dengan Kontrak Sosial.
“Maka, tak perlu diganggu gugat atau didekati oleh DAP yang sering kali pemimpinnya mencabar Kontrak Sosial ini untuk menyebarkan dakyah politik mereka di UiTM.
“Wira Putra juga mohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Canselor UiTM untuk mengekang tujuan dan hasrat ini agar UiTM terus dilindungi sebagai sebuah institusi yang mempertahan rukun negara dan bebas dari doktrinasi yang bercanggah dengan maksud penubuhan universiti itu sendiri,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252