BERITA UTAMA
Universiti Malaya bakal tawar pengajian bahasa Kazakhstan

Universiti Malaya bakal tawar pengajian bahasa Kazakhstan

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dijangka menawarkan kursus pengajian bahasa Kazakhstan bermula semester tahun hadapan di bawah Fakulti Bahasa dan Linguistik.

Timbalan Dekan (Ijazah Dasar) Fakulti Bahasa dan Linguistik UM Azlin Zaiti Zainal berkata tawaran pengajian berkenaan adalah hasil kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Eurasia, Kazakhstan yang akan menawarkan tenaga pengajar mereka.

“Kita akan mewujudkan Pengajian Asia Tengah di UM yang masih dalam perancangan dan antara pengajian di bawahnya termasuk bahasa Kazakhstan.

“Melalui pengajian ini, kemungkinan kita boleh tawarkan tiga pilihan sama ada sebagai elektif fakulti, kursus bahasa universiti atau bufet kursus melalui Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) untuk orang ramai yang berminat,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Kongres Serantau Kazakhstan dari Negara-Negara Asia di sini pada Isnin.

Azlin Zaiti berkata pada masa ini pihak Universiti Kebangsaan Eurasia sedang merangka silibus yang akan ditawarkan dan menyenaraikan kelebihan yang akan diperoleh pelajar yang mengikuti pengajian bahasa itu.

“Pihak Universiti Kebangsaan Eurasia masih merangka maklumat kursus yang akan diajar setiap minggu sepanjang 14 minggu, hasil pembelajaran mereka dan apa manfaat untuk pelajar yang mengikuti kursus ini? Kalau sempat semester 2025 dah boleh tawarkan,” katanya.

Beliau berkata Kedutaan Kazakhstan di Malaysia juga banyak membantu dalam memastikan penubuhan kursus pengajian itu direalisasikan dalam masa terdekat.

Sementara itu Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev berkata kerjasama antara Universiti Kebangsaan Eurasia dan UM adalah langkah penting ke arah memperkenalkan bahasa Kazakhstan kepada khalayak yang lebih luas di Malaysia.

“Kami teruja untuk meneroka kemungkinan mewujudkan kursus bahasa Kazakhstan dan platform yang membolehkan pelajar dari Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara melibatkan diri dan belajar tentang budaya, sejarah serta bahasa Kazakhstan.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UM atas peluang yang menarik ini dan tidak sabar untuk bekerjasama bagi merealisasikan visi ini kerana kerjasama ini bukan sahaja untuk mempromosikan bahasa Kazakhstan tetapi juga memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih besar terhadap budaya kami.

“Kami juga percaya bahawa dengan memperkenalkan bahasa dan budaya Kazakhstan ke dalam landskap akademik Malaysia, kami akan membuka peluang baharu untuk pelancongan, perniagaan dan pertukaran budaya. Inisiatif ini akan membantu mengukuhkan hubungan antara negara dan menyumbang kepada kerjasama serantau yang lebih besar di Asia Tenggara,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *