KUALA LUMPUR – Kebakaran sebuah stori farmasi Hospital Papar petang semalam, menyebabkan 51 pesakit dipindahkan sementara ke beberapa lokasi.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, pada masa sama, terdapat lapan pesakit di Jabatan Kecemasan yang terkesan akibat insiden itu.
“Daripada pesakit dalam, 19 pesakit lelaki ditempatkan di Dewan Bedah, 14 pesakit wanita ditempatkan di Wad Materniti, 14 pesakit kanak-kanak kekal di Wad Kanak-kanak, sementara empat pesakit materniti, termasuk dua pesakit pos natal kekal di Wad Materniti,” katanya menerusi hantaran di media sosial pagi ini.
Kata beliau, seorang pesakit di zon merah Jabatan Kecemasan dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan tiga di zon kuning sedang menunggu untuk dipindahkan ke hospital sama.
“Empat lagi pesakit di zon kuning masih berada di khemah sementara yang didirikan di luar kawasan hospital.
“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
Semalam, sebuah bangunan menempatkan stor farmasi Hospital Papar hangus terbakar, manakala bilik makmal kajian terkena bahang api dalam kejadian kira-kira jam 7 malam.
Dr. Dzulkefly berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan nilai kerugian sedang dianalisis.
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi tersebut dan memberikan maklumat lanjut kepada orang ramai dari semasa ke semasa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252