BERITA UTAMA
Fazura kekal penjaga Fatima, Fattah dapat hak lawatan, bermalam

Fazura kekal penjaga Fatima, Fattah dapat hak lawatan, bermalam

SHAH ALAM – Tuntutan hadanah bekas pasangan popular, Fattah Amin dan Nur Fazura hari ini selesai apabila hak penjagaan anak mereka, Fatima Aisya diserahkan kepada Fazura manakala Fattah mempunyai hak lawatan tiga kali seminggu dan bermalam dua kali sebulan.

Fattah dan Fazura hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bagi merekodkan persetujuan hak penjagaan anak perempuan yang baru berusia empat tahun itu.

Menurut peguam yang mewakili Fattah iaitu Zulkifli Yong Azmi, persetujuan mengenai hak penjagaan anak telah pun dilakukan sewaktu proses perceraian awal Oktober lalu.

“Hak penjagaan dan lawatan telah pun dipersetujui sebelum ini dan telah direkodkan sebagai perintah mahkamah. Hak penjagaan Fatima diberikan kepada Nur Fazura selaku ibu, manakala Fattah mempunyai hak lawatan tiga kali seminggu dan hak bermalam bersama Fatima dua kali sebulan setiap hari Jumaat hingga Ahad,” katanya dipetik KOSMO ONLINE.

Tambah Zulkifli lagi, sekiranya terdapat pelanggaran dalam perjanjian hadanah tersebut mereka berhak mulakan prosiding penghinaan mahkamah.

Sementara itu Fazura ketika ditemui selepas selesai urusan mahkamah berkata dia bersyukur segalanya telah selesai.

“Alhamdulillah. Saya tak ada apa-apa yang mahu diulas,” jawabnya ringkas.

Percubaan Kosmo! Online mendapatkan respons Fattah pula tidak berjaya apabila enggan ditemubual dengan alasan perlu bergegas kerana ada urusan lain.

Terdahulu Fattah Amin atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, sah bercerai talak satu dengan Nur Fazura Sharifuddin, 41, pada 7 Oktober lalu di Mahkamah Syariah Petaling Subang Bestari.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *