KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan siasatan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) berjumlah RM43.9 juta tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ini kerana siasatan itu membabitkan beberapa keputusan korporat, sekali gus mengambil masa untuk diselesaikan.
Beliau berkata keputusan menahan usahawan dalam talian yang juga pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar bergantung kepada pegawai penyiasat kes berkenaan.
Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada penyiasat yang akan memutuskan sebarang tindakan bersesuaian dengan hasil siasatan.
“Setakat ini pegawai SPRM membuat yang terbaik dalam menyelesaikan kes ini tetapi saya jangka ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat disebabkan ia juga membabitkan beberapa keputusan korporat. Jadi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azam juga tidak menolak kemungkinan, Vivy dan suaminya itu akan dipanggil semula esok untuk sesi kelima oleh pegawai penyiasat.
“Dalam beberapa sesi terdahulu kita mendapatkan maklumat menerusi dokumen, akaun, pelaburan yang masuk ke dalam FashionValet serta aset-aset yang dimiliki.
“Oleh saya tidak melihat ia akan diselesaikan hari ini dan menjangkakan pegawai penyiasat akan memanggil mereka kembali untuk membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Beliau berkata setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252