BERITA UTAMA
Jangan cabar kesabaran orang Melayu, Islam – Perkasa

Jangan cabar kesabaran orang Melayu, Islam – Perkasa

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam tindakan seorang lelaki bukan Melayu menghina agama Islam dan orang Melayu menerusi video yang tular semalam.

Timbalan Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, tindakan lelaki terbabit menggelarkan bekas perdana menteri dengan perkataan penghinaan secara jelas mempersenda Islam dan mengancam orang Melayu sebagai bangsa majoriti di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mahukan penjelasan dari pihak berkuasa sama ada individu terbabit sudah ditangkap atau didakwa.

“Saban hari penghinaan terhadap agama Islam semakin menjadi-jadi, adakah budaya ini sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia?

“Perkasa juga mahukan penjelasan dari pihak berwajib, adakah Akta 3R ini hanya diguna pakai untuk orang Melayu sahaja? Sekiranya orang bukan Melayu ianya tidak menjadi kesalahan?

“Perkasa juga ingin bertanya adakah Akta 3R ini telah diluluskan di Parlimen?” soal beliau menerusi kenyataan kepada media semalam.

Menurut Azrol, Perkasa mahu melihat apakah tindakan yang bakal diambil pihak polis dalam isu penghinaan terhadap Islam ini, sama ada akan berterusan atau senyap begitu sahaja.

Beliau berharap tindakan tegas melalui undang undang sedia ada dapat diambil agar tidak menjadi barah yang boleh membuatkan orang Melayu hilang sabar

“Kepada rakyat Malaysia, Perkasa berharap belajarlah menghormati bangsa majoriti, jangan mencabar kesabaran orang Melayu” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular dimuat naik seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap agama Islam.

Katanya, polis sudah mengenalpasti suspek dan keterangan akan diambil dalam masa terdekat memandangkan individu berkenaan sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di sebuah hospital.

“Hari ini terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi seminit empat saat yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Tan Chong Ren@Tan Speaker Corner melalui aplikasi Facebook.

“Rakaman video memapar seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap agama Islam.

“Susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Rusdi berkata, polis memandang serius berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara sebagaimana diperuntukkan undang-undang.

“Kes masih di peringkat siasatan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menularkan video berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *