LONDON – Jamie Carragher menegaskan Manchester United membuat satu kesilapan tidak memecat Erik ten Hag pada musim panas lalu dan percaya keputusan itu menggambarkan kelemahan pasukan pimpinan semasa.
Ten Hag dipecat pagi semalam selepas mengadakan perbincangan bersama CEO United, Omar Barrada dan pengarah sukan Dan Ashworth di Carrington.
Kekalahan 2-1 di tangan West Ham Ahad lalu ternyata perlawanan terakhir kendaliannya dan Ten Hag meninggalkan kelab itu di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, tujuh mata di belakang berbanding pasukan tangga keempat.
Ruud van Nistelrooy ditugaskan sebagai bos sementara ketika United bekerja keras untuk membuat pelantikan tetap.
Seperti dilaporkan Mail Sport, kelab itu sudah menyenaraikan beberapa calon termasuk bekas ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez.
Namun legenda Liverpool, Carragher mengecam pemimpin atasan United kerana gagal bertindak cepat.
Bercakap kepada Sky Sports, beliau berkata: “Ia patut berlaku pada musim panas lalu dan ia bukannya tertakluk kepada Erik ten Hag. Ia menjadi tanggungjawab pasukan pemilikan baharu.
“Apa yang mereka lakukan adalah membiarkan ia berlanjutan hingga sembilan perlawanan liga dan ia menyebabkan mereka kerugian £200 juta (RM1.1 bilion), dari segi membawa masuk pemain baharu pada musim panas lalu yang patut dikenal pasti oleh pengurus.
“Mereka mungkin datang ke kelab itu kerana mereka mempunyai hubungan dengan pengurus pada masa lalu. Nampaknya bodoh, hakikat mereka mengekalkan beliau, kerana ia sentiasa tidak dapat dielakkan ini akan berlaku.”
Carragher turut terbabit dalam perdebatan mengenai calon pengganti Ten Hag dan mengenal pasti Xavi sebagai jurulatih paling ideal.
“Nampaknya mereka bercakap dengan Xavi, dari Barcelona,” katanya.
“Beliau adalah salah seorang pemain kegemaran saya. Saya rasa beliau pemain terbaik Sepanyol sepanjang zaman.” – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252